Thursday, February 13, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia tidak iktiraf sekatan unilateral

    PUTRAJAYA, 8 MEI – Malaysia tidak mengiktiraf sebarang sekatan unilateral terhadap mana-mana negara, melainkan ia diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA), kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    “Ini sentiasa menjadi prinsip Malaysia. Jika ada sekatan ia perlu melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan jika resolusi itu diluluskan, maka sebagai anggota PBB kita perlu menghormati dan mematuhinya,” katanya kepada media dalam temu bual khas di pejabatnya di sini kelmarin.

    Menteri itu mengulas mengenai sekatan antarabangsa yang dikenakan oleh Barat dan sekutunya ke atas Rusia berikutan operasi ketenteraannya ke atas Ukraine. Mengenai konflik Rusia-Ukraine, Saifuddin berkata Malaysia mengekalkan pendirian tidak berpihak tetapi pada masa sama tidak pernah bersetuju dengan sebarang pencerobohan oleh mana-mana negara yang mengancam kedaulatan negara lain.

    “Kami terus menggalakkan kedua-dua pihak bertelagah untuk menamatkan konflik ini. Kami tahu terdapat individu yang berusaha menjalin kerjasama dengan kedua-dua pihak untuk menamatkan konflik ini. Kami tidak terlibat setakat itu, tetapi kami berhubung dengan pihak yang mengusahakannya,” katanya.

    Mengulas lanjut mengenai kesan sekatan ekonomi terhadap rakyat Malaysia khasnya pelajar yang mengikuti pengajian di Rusia, Saifuddin berkata buat masa ini, kebajikan dan keselamatan mereka terjaga.

    Buat masa ini, rakyat Malaysia di Rusia masih boleh membuat transaksi kewangan melalui perkhidmatan Union Pay. 

    Bagaimanapun, bank Russia yang menjalankan khidmat Union Pay adalah terhad kepada tiga bank sahaja setakat ini. Tambahnya Kementerian Luar memantau rapi situasi ini dan ia sentiasa mendapat maklum balas mengenai perkembangan terkini kesan terhadap konflik Rusia-Ukraine daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. – Bernama

    Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf sebarang sekatan unilateral, melainkan ia diterima pakai oleh UNGA. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda