Malaysia ungguli acara petanque

NEW CLARK CITY, 5 DIS – Skuad petanque lelaki negara memulakan kempen Sukan SEA ke-30 di Filipina dengan langkah kanan setelah memenangi pingat emas pertama dalam acara triples lelaki.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia menamatkan dominasi Thailand yang meraih emas dalam acara berkenaan pada edisi 2015 di Singapura dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pada aksi di CDC Lot berhadapan Royce Hotel and Casino yang berlangsung hampir tiga jam itu, trio negara yang dibarisi Muhammad Hafizuddin Mat Daud, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Saiful Bahri Musmin ketinggalan sementara dengan keputusan 4-9 kepada trio Thailand, iaitu Wanchaloem Srimueang, Piyabut Chamchoi dan Panu Roeksanit.

Trio negara itu bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menjadi 11-11, sebelum Muhammad Hafizuddin muncul wira negara setelah menambah dua lagi mata untuk memastikan kilauan emas pertama dari sukan petanque.

Kejayaan itu mengubati kekecewaan dialami skuad trio wanita negara yang sebelum itu, tewas dengan keputusan 3-14 kepada Kemboja pada aksi final triples wanita.

Jurulatih petanque negara, Syed Ali Syed Akil yang ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan, jelas gembira dengan kejayaan berkenaan setelah kali terakhir Malaysia mencapai kejayaan pingat gangsa adalah dalam acara triples lelaki pada 2015 di Singapura. – Bernama

Atlet Petanque negara (dari kiri) Syed Akmal Fikri Syed Ali, Saiful Bahri Musmin, Muhammad Hafizuddin Mat Daud dan Mohd Safi menunjukkan pingat Emas yang dimenangi mereka selepas menentang pasukan Thailand pada Perlawanan Acara Petanque Kategori ‘Men Triples’ sempena Sukan SEA Filipina 2019 di CDC Lot Royce Hotel kelmarin. – Bernama