KUALA LUMPUR, 5 JAN – Pihak berkuasa Malaysia berkata kelmarin bahawa mereka telah mengusir dua bot yang membawa hampir 300 orang yang dipercayai pelarian Muslim Rohingya selepas mereka didapati memasuki negara itu secara haram.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkata bahawa mereka menerima maklumat bahawa dua lagi bot cuba memasuki negara itu selepas sebuah bot yang membawa 196 Rohingya mendarat pada Jumaat di sebuah pantai di pulau peranginan Langkawi, utara Malaysia. Semua mereka ditahan oleh pihak berkuasa.
Agensi itu berkata pihak berkuasa telah mengesan dua bot lain pada petang Jumaat berhampiran Langkawi. Orang di atas bot-bot tersebut, yang dipercayai pelarian Rohingya, dilaporkan keletihan dan kekurangan bekalan makanan dan air.
Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Mohamad Rosli Abdullah, dalam satu kenyataan berkata, bantuan telah diberikan kepada dua bot tersebut, termasuk bekalan makanan dan air minuman, sebelum mereka diiring keluar dari negara itu untuk meneruskan perjalanan mereka.
idak ada butiran lanjut diberikan mengenai destinasi bot tersebut dan tiada maklumat mengenai tempat asal mereka. – AP