Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysian Tigers kalah 0-1 kepada Sepanyol

    KUALA LUMPUR, 31 JULAI – Walaupun kalah, skuad kebangsaan telah mempamerkan prestasi cemerlang selepas berjaya mengurangkan defisit gol dalam perlawanan ujian menentang Sepanyol di Barcelona pada Selasa.

    Malaysian Tigers ketinggalan 0-1 kepada pasukan ranking kesembilan dunia itu apabila Pau Quemada menjaringkan gol pada minit ke-30, yang meletakkan Sepanyol di depan.

    Ketua jurulatih kebangsaan Roelant Oltmans berkata empat pemain tonggak negara mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun gagal menyempurnakan penyudahannya.

    “S.Kumar (penjaga gol kebangsaan) beberapa kali menyelamatkan gol dengan baik tetapi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Joel Samuel Van Huizen, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook gagal menyudahkan peluang-peluang itu,” katanya dalam satu kenyataan.

    Oltmans menambah, selepas perlawanan tamat, kedua-dua pasukan telah mengadakan “penalty shoot-out” persahabatan yang dimenangi Malaysia 3-2.

    “Adrian membuat penampilan sulung dan Marhan bermain bagi kali ke-250 untuk Malaysia. ‘Shoot-out’ persahabatan itu dimenangi 3-2 oleh Malaysia. Adrian adalah penjaga gol dan Faizal, Fitri dan Akhimullah penjaring gol,” tambahnya.

    Dalam perlawanan ujian sebelum itu, pasukan hoki kebangsaan membuat kejutan apabila mereka mengalahkan bekas juara dunia dan pasukan ranking ketujuh dunia, Jerman, 4-2 di Krefeld. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda