ANKARA, 29 Nov – Turki hari ini menukar nama jalan di kawasan terletaknya kedutaan Amerika Syarikat baharu dengan nama pejuang hak asasi awam Malcolm X, menurut koresponden AFP.
Kedutaan baharu itu masih terletak di daerah Cukurambar di Ankara yang sebelum ini dikenali sebagai jalan 1478. Syarikat pembinaan BL Harbert berkata kompleks baharu itu dijangka akan siap pada 2020.
Penamaan semula itu dibuat selepas majlis bandar Ankara membuat keputusan bulan lepas untuk menukar nama kepada Malcolm X Street.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berjanji kepada anak perempuan pejuang terkenal itu bahawa nama Malcolm X akan ‘sentiasa hidup’ di bandar Turki.
Petugas perbandaran menukar papan tanda jalan itu awal pagi ini, menurut koresponden, kerja-kerja pembinaan diteruskan di tapak itu.
Malcolm X merupakan individu yang paling berpengaruh, pejuang Islam yang lantang dalam hak asasi kulit hitam dan sehingga sekarang menjadi hero di kalangan orang kulit hitam dan orang Islam.
Apabila Washington meluahkan rasa kebimbangan mengenai serangan Turki di utara Syria ke atas pejuang militia Kurdish sokongan AS, Ankara pada Februari lalu menamakan semula jalan itu kepada Olive Branch mengambil sempena serangan itu.
Pada Januari lalu, susulan pertikaian dengan Emiriah Arab Bersatu mengenai tindakan Empayar Uthmaniyah di Madinah, Ankara menamakan semula jalan di mana terletaknya kedutaan UAE kepada nama gabenor Uthmaniah.
Pertikaian tercetus selepas Menteri Luar UAE Sheikh Abdullah bin Zayed al-Nahyan melalui Twitter, tweet semula satu kenyataan yang mengkritik bekas pemimpin Uthmaniyah. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/11/P16-3B_301118.jpg)