COLOMBO, 6 MEI – Maldives yang berdepan kekurangan wang tunai telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat berpangkalan di Dubai untuk membangunkan zon pelaburan bernilai AS$8.8 bilion, bertujuan mempelbagaikan ekonomi negara pelancongan itu menjadi sebuah ‘zon bebas kewangan,’ menurut kenyataan kerajaan kelmarin.
Menurut kenyataan daripada Pejabat Presiden Mohamed Muizzu, tiga menara kediaman dan pejabat, sebuah pusat konvensyen dan beberapa hotel akan menjadi sebahagian daripada Pusat Kewangan Antarabangsa Maldives (MIFC).
“Ia akan meletakkan Male sebagai hab perniagaan dan kewangan global utama di Lautan Hindi,” kata kenyataan itu sambil menambah ia akan membolehkan negara kepulauan itu ‘mempelbaaikan ekonomi di luar pelancongan.’
Ekonomi Maldives yang bernilai AS$6.5 bilion telah mengalami kekurangan pertukaran asing sejak pandemik COVID-19 dan telah diberi amaran tentang kemungkinan alami krisis hutang luar negara.
Pengumuman itu menyusul selepas perjanjian yang ditandatangani lewat Ahad bersama MBS Global Investments, milik Sheikh Nayef bin Eid Al Thani dari Qatar.
Zon MIFC itu tidak akan mewajibkan syarat residensi dan menawarkan ‘cukai korporat bebas, pewarisan bebas cukai serta jaminan privasi,” tambah kenyataan tersebut.
Projek itu dijangka siap menjelang 2030 dan bakal menjana hasil melebihi AS$1 bilion menjelang tahun kelima operasinya, menurut kerajaan.
Pada Februari lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan Maldives memerlukan langkah penyatuan fiskal yang ‘segera dan lebih kukuh’ untuk menstabilkan ekonominya yang bermasalah, walaupun sektor pelancongannya berkembang pesat.
Negara percutian mewah itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus pada 2025, namun IMF memberi amaran unjuran positif itu boleh menyembunyikan risiko-risiko yang lebih besar. – AFP
