NEW DELHI, 8 OKT – Maldives, Sri Lanka dan Pakistan telah memperbaharui sokongan mereka terhadap penubuhan sebuah negara Palestin dalam sempadan sebelum 1967 ketika konflik Arab-Israel semakin meningkat.
Kerajaan Maldives dalam satu kenyataan mengulangi pendiriannya bahawa keamanan yang berkekalan di Asia Barat hanya boleh dicapai melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.
Ia menyeru pelaksanaan penuh resolusi Majlis Keselamatan yang telah mengisytiharkan batal dan tidak sah pendudukan Palestin dan pengilhakan Kota Suci Baitulmaqdis.
Wilayah Arab yang diduduki oleh Israel dalam perang 1967 termasuk Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
“Sri Lanka kekal komited untuk menyokong penyelesaian yang dirundingkan selaras dengan parameter yang dipersetujui antarabangsa bagi dua negara yang tinggal bersebelahan berdasarkan sempadan 1967,” kata Kementerian Luar Sri Lanka.
Kerajaan sementara Afghanistan menyalahkan pencabulan hak Palestin oleh Israel sebagai punca peningkatan terbaharu dalam konflik selama 75 tahun dan meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membantu rakyat Palestin.
Pakistan dalam satu kenyataan menyeru masyarakat dunia untuk bersama-sama menamatkan permusuhan dan untuk mencapai keamanan yang berkekalan di Asia Barat. – Bernama


