MOSCOW, 5 OGOS – Mali memutuskan hubungan diplomatik dengan Ukraine, umum kerajaan peralihan Mali, lapor Sputnik.
“Selepas Ukraine mengesahkan dakwaan penyertaan dalam pencerobohan secara terang-terangan terhadap Mali, kerajaan peralihan Republik Mali memutuskan langkah-langkah berikut: pemutusan segera hubungan diplomatik antara Republik Mali dan Ukraine,” kata kerajaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pentadbiran Wilayah dan Desentralisasi Mali, Abdoulaye Maiga, lewat kelmarin.
Kerajaan peralihan juga memutuskan untuk memaklumkan kepada kerajaan di seluruh dunia, termasuk negara yang menyokong Kyiv, bahawa Ukraine ‘secara terbuka menyokong keganasan’, menyebabkan Mali menganggap ‘sokongan untuk Ukraine sebagai sokongan untuk keganasan’, tambah kenyataan itu.
“Kerajaan peralihan Mali menyokong sepenuhnya diagnosis yang dibuat oleh Rusia, yang selama bertahun-tahun telah memberikan amaran kepada dunia tentang sifat neo-Nazi dan jahat pihak berkuasa Ukraine, yang kini menjadi sekutu pengganas global,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa tindakan kerajaan Ukraine jauh daripada ‘aspirasi rakyat Ukraine untuk keamanan dan kestabilan’.
Kerajaan peralihan juga akan mengambil langkah-langkah untuk menghalang percubaan mengganggu kestabilan negara itu daripada negara Afrika lain, khususnya, daripada kedutaan Ukraine di rantau Afrika dan dengan penyertaan ‘pengganas yang menyamar sebagai diplomat’. – Bernama