SINGAPURA, 21 APRIL – Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman akan bersara daripada politik dan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025), menandakan berakhirnya kerjaya politik yang menjangkau lebih dua dekad.
Maliki, yang telah berkhidmat lima penggal sejak 2001, berkata bahawa bersama Perdana Menteri Lawrence Wong, mereka bersetuju ia adalah masa yang sesuai untuk beliau memberi laluan kepada calon baharu dan bersara daripada politik.
Menteri Kedua bagi Pendidikan dan Hal Ehwal Luar itu merupakan seorang daripada 12 Ahli Parlimen Melayu-Islam daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memenangi kerusi pada PRU2020.
Beliau mewakili Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) East Coast sejak 2011.
Dalam pilihan raya umum sebelum ini, beliau dan pasukan PAP berjaya memperoleh 53.39 peratus undi, menewaskan Parti Pekerja di kawasan lima anggota itu.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen GRC Sembawang dari 2001 hingga 2011. – Bernama
