Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malim Gunung Kinabalu terima penghargaan dari Singapura

    KUNDASANG, 24 JULAI – Sempena sedekad insiden gempa bumi dahsyat di Ranau pada 2015, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon menzahirkan penghargaan terhadap keberanian malim gunung Kinabalu, sambil menegaskan penghargaan berterusan Singapura atas keperwiraan mereka dalam menghadapi tragedi itu.

    Semasa lawatan ke Kundasang kelmarin, Menon bertemu dengan ahli Persatuan Malim Gunung Kinabalu dan menyampaikan 30 pasang kasut kepada para malim gunung. Sumbangan itu melambangkan penghargaan Singapura atas usaha berani mereka menyelamatkan pendaki semasa bencana itu.

    Menon berkata gempa bumi yang melanda Sabah pada 2015 telah menjejaskan kehidupan banyak pihak, termasuk beberapa rakyat Singapura.

    Gempa bumi bermagnitud 6.0 pada 5 Jun 2015, yang melanda berhampiran Gunung Kinabalu, telah meragut 18 nyawa, termasuk 10 rakyat Singapura, kebanyakannya pelajar dan guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong.

    “Saya dan pasukan datang untuk memberi penghormatan kepada para malim gunung yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyelamatkan para pendaki dan membantu mengeluarkan mayat mangsa yang terkorban.

    Pada 2016, kami telah menganjurkan satu majlis penghargaan untuk mengucapkan terima kasih kepada para malim gunung dan mengekalkan hubungan dengan mereka. Sepuluh tahun selepas gempa bumi itu, kami terus menzahirkan penghargaan kami. Keberanian mereka tidak akan dilupakan,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama

    Gambar tahun 2015 menunjukkan sekumpulan malim gunung yang sedia menawarkan khidmat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap di puncak Gunung Kinabalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda