Peminat muzik hip hop pastinya tidak sabar dan ternanti-nanti kemunculan serta buah tangan terbaru daripada penyanyi rap Malaysia, Malique.
Tampil dengan karya terbaharu berjudul Sedih Hati yang turut menggabungkan suara Allahyarham Mona Fendy, impian peminat untuk melihat Malique muncul dalam video muzik (MV) bagaimanapun tidak kesampaian.
Sebaliknya, tular pula MV versi akustik lagu berkenaan memaparkan seorang remaja perempuan dipercayai anak kepada Malique iaitu Inca Medina.
Memetik dari mStar, dalam MV yang dimuat naik di saluran YouTube itu, gadis berkenaan awalnya mengenakan topeng muka sambil menggesek biola serta ditemani beberapa pemuzik lain.
Bagaimanapun di akhir video, gadis berkenaan dilihat membuka topeng muka sekaligus memaparkan wajah sebenarnya.
Sehubungan itu, rata-rata netizen meluahkan rasa teruja kerana dapat melihat wajah Inca yang sudah meningkat dewasa buat kali pertama.
Malah mereka juga terimbau kembali lagu Senyum yang turut menyelitkan nama Inca Medina di dalam liriknya.
“Dulu tengok masa kecil, sekarang dah besar. Ikut bakat ayah dia pandai main muzik.
“Sekali senyum nampak Mr. General (Malique). Dekat 13 tahun lagu Senyum itu. Tua dah kita ini.
“Kita tunggu ayah dia muncul, sekali dia hantar anak ubat rindu kita semua,” antara komen netizen.
Untuk rekod, Malique yang juga merupakan bekas ahli kumpulan Too Phat itu hilang secara misteri dalam industri hiburan sehingga menjadi perbualan ramai sejak ia berpecah pada 2007.
Malah Malique difahamkan memilih untuk bekerja di sebalik tabir namun masih lagi menghasilkan karya-karya baharu yang menerima sambutan ramai sehingga kini. – Agensi


