AMERIKA SYARIKAT, 23 OKT – Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin memberi amaran bahawa kekurangan zat makanan dalam kalangan wanita hamil dan anak damit di Gaza akan memberi kesan ‘sepanjang generasi’, sambil menggesa peningkatan besar bantuan kemanusiaan bagi mengelakkan masalah kesihatan jangka panjang.
“Tahap kemusnahan yang saya saksikan kelihatan seperti set penggambaran filem distopia,” kata Andrew Saberton, timbalan pengarah eksekutif Tabung Penduduk PBB (UNFPA), kepada wartawan selepas lawatannya ke wilayah yang dilanda perang itu.
Beliau berkata bahawa satu perempat daripada penduduk Gaza kini ‘kelaparan’.
“Itu termasuk 11,500 wanita hamil yang bagi mereka, kebuluran ekstrem, bukan sahaja untuk si ibu, tetapi juga bagi anak damit yang bakal lahir,” kata Saberton, yang agensinya mengetuai program kesihatan reproduktif dan maternal di seluruh dunia.
Akibatnya, 70 peratus anak damit yang baru lahir di Gaza kini dilahirkan pramatang atau kurang berat badan, berbanding hanya 20 peratus sebelum serangan Hamas terhadap Israel pada Oktober 2023 yang mencetuskan peperangan.
“Kekurangan zat makanan akan memberi kesan merentasi generasi, bukan sahaja kepada si ibu, tetapi juga kepada anak damit, yang berkemungkinan memerlukan penjagaan berpanjangan dan menghadapi masalah kesihatan sepanjang hayat,” katanya di ibu pejabat PBB di New York.
Gencatan senjata baru-baru ini telah membolehkan sedikit kelonggaran bagi pergerakan pekerja kemanusiaan, kata Saberton, namun bantuan yang dibenarkan masuk masih terlalu sedikit dan tidak mencukupi. Beliau turut menambah bahawa kekurangan bekalan perubatan dan kemudahan kesihatan jadi faktor utama, dengan lebih 94 peratus hospital musnah dan hanya 15 peratus kemudahan yang masih beroperasi mampu menyediakan rawatan obstetrik kecemasan.
“Kadar kematian ibu sangat tinggi, sebahagiannya kerana perkara asas seperti alat perancang keluarga sudah tidak lagi tersedia,” katanya, sambil menambah bahawa sebahagian wanita terpaksa mencari atau melakukan pengguguran tidak selamat.
Selain itu, kira-kira 700,000 wanita dan remaja perempuan menghadapi kesukaran setiap bulan akibat kekurangan privasi, air dan tuala wanita semasa kitaran haid mereka. – AFP


