Saturday, July 26, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malnutrisi jejas tumbesaran kanak-kanak di Laos

    PHNOM PENH, 25 JULAI – Laos sedang berdepan dengan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak, dengan hampir 44 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami tumbesaran terbantut.

    Menurut laporan Vientiane Times, terdapat kira-kira 385,000 kes seumpama itu di negara berkenaan, dengan 20 peratus kanak-kanak Laos sudah sudah terbantut seawal usia enam bulan.

    Menurut Tinjauan Petunjuk Sosial Laos, hampir dua juta penduduk di Laos, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mengalami pelbagai bentuk kekurangan zat makanan.

    “Malnutrisi kronik kekal sebagai kebimbangan utama, dengan 35.6 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun menunjukkan tanda-tanda kekurangan zat makanan jangka panjang,” menurut laporan itu.

    Kemiskinan makanan dalam kalangan kanak-kanak di rantau Asia Tenggara telah menjadi isu mendesak, sebahagian besarnya disebabkan oleh kemiskinan dan akses kepada makanan berkualiti di kawasan pedalaman.

    Gambar Envato

    Laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) tahun lepas bertajuk Child Food Poverty: Nutrition Deprivation in Early Childhood, mendedahkan kualiti diet yang rendah menyumbang kepada malnutrisi kanak-kanak di Asia Tenggara.

    “Kira-kira 26 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami tumbesaran terbantut, lebih separuh mengalami kekurangan mikronutrien dan berat badan berlebihan serta obesiti kanak-kanak menjadi kebimbangan yang semakin meningkat,” kata UNICEF.

    Menurut laporan itu, satu daripada empat kanak-kanak di seluruh dunia hidup dalam kemiskinan makanan kanak-kanak yang teruk pada awal usia, melibatkan kira-kira 180 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

    “Kemiskinan makanan kanak-kanak yang teruk mendorong kepada kekurangan zat makanan kanak-kanak. Prevalens kemiskinan makanan kanak-kanak yang teruk adalah tiga kali lebih tinggi di negara-negara dengan prevalens kanak-kanak terbantut yang tinggi,” kata agensi global itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda