“Mungkin ada dalam kalangan kami sudah lupa setiap insiden berlaku, saya juga masih ingat setiap babak yang terjadi.”
Demikian kata pelawak Mamat Sepah mengenai insiden yang pernah terjadi antaranya dan anggota Sepah iaitu Jep dan Shuib termasuk kejadian pergaduhan diceritakan dalam podcast Dol’s yang dikendalikan Shuib bersama Shuk Sahar dan Fizie Roslan.
Mamat berkata, walaupun kejadian sudah berlaku 16 tahun lalu, namun ingatannya masih kuat dan tidak ditokok tambah seperti didakwa.
“Apa yang saya ceritakan dalam podcast berlaku kira-kira 16 tahun lalu. Alhamdulillah, Tuhan beri saya daya ingatan yang kuat.
“Mungkin ada orang yang sudah lupa mengenai kejadian ini membuatkan ia dianggap sudah ditokok tambah. Lagipun mana boleh padam sejarah yang pernah terjadi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Enggan mengeruhkan keadaan, Mamat berkata, dia tidak berniat mahu mengaibkan atau bergaduh dengan sesiapa.
“Saya enggan mengeruhkan keadaan. Kami bertiga sudah dianggap seperti adik-beradik.
“Tiada apa yang kami nak terasa. Apa yang berlaku sebelum ini semua tidak sengaja. Tiada apa yang membuatkan kami tidak selesa.
“Insya Allah semua baik-baik sahaja. Bagi saya, perkara ini tiada apa kerana saya pernah menghadapi ujian yang lebih besar.
“Lagipun zaman media sosial sekarang mudah viral. Hubungan saya dengan Jep dan Shuib baik,” katanya.
Terdahulu, Jep atau nama sebenarnya, Mohd Nadzri Zainal Abidin tampil bersuara dipercayai menjawab isu yang timbul dari segmen podcast yang dibuat oleh beberapa rakannya.
Dalam satu hantaran di Instagram, Jep menegaskan apa yang diceritakan dalam podcast kebanyakannya adalah rekaan dan ditokok tambah.
Menerusi podcast itu, Mamat mengimbau kenangan ketika kumpulan Sepah ingin menghadiri uji bakat program lawak. – Agensi