Pelawak Mamat menyifatkan perpisahan yang pernah terjadi di antaranya dengan rakan seperjuangan Shuib mempunyai hikmah tersembunyi.
Mamat atau Mohd Noor Murad, 40, berkata, dia tidak menyangka ikatan persahabatan tersebut kembali terjalin sehingga membawa mereka mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah, menurut laporan mStar.
“Terpisah hanya untuk sementara agar kita faham erti persahabatan. Tak terduga hadir beribadah bersama di sini dengan membawa sejuta kisah.
“Semoga teman-teman yang lain menjadi tetamu istimewa di sini satu hari nanti. Amin,” katanya.
Mamat berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya kelmarin.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen Shuib atau Shahmira Muhamad, 41, turut berdoa agar persahabatan yang terjalin antara mereka membawa hingga ke syurga.
“Cerita kita luar biasa, Allah tulis untuk kita faham apa itu erti persahabatan.
“Semoga kita bersahabat sampai syurga Mat (panggilan Mamat), Alhamdulillah,” ujarnya.
Untuk rekod, Mamat dan Shuib merupakan anggota kumpulan Sepah yang pernah menyertai program realiti termasuk Raja Lawak dan Maharaja Lawak.
Selain Mamat dan Shuib, Sepah turut dianggotai oleh Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, 40.
Pun begitu, ketiga-tiga mereka berpecah dan keluar dari kumpulan tersebut kerana membawa haluan masing-masing dalam bidang seni. – Agensi
