Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mamogram potensi ramal penyakit jantung wanita

    AMERIKA SYARIKAT – Mamogram rutin digunakan untuk memeriksa wanita bagi kanser payudara.

    Tetapi penyelidikan baharu mencadangkan ia boleh melakukan lebih daripada itu, imej-imej mungkin membantu meramalkan risiko wanita bagi masalah kardiovaskular utama, seperti serangan jantung dan strok, apabila ia menunjukkan kehadiran pembentukan kalsium dalam arteri payudara wanita.

    Penemuan-penemuan itu mencadangkan kehadiran pengkalsiuman arteri payudara mungkin menjadi peramal yang lebih baik untuk masalah kardiovaskular pada sesetengah wanita berbanding alat risiko yang digunakan kini, memberikan peluang yang sangat diperlukan untuk pencegahan.

    Kajian itu dibentangkan pada 13 November di persidangan Sesi Saintifik Persatuan Jantung Amerika di Philadelphia.

    “Kami tahu kami perlu mencari cara yang lebih baik untuk meramalkan penyakit jantung pada wanita sebelum ia berlaku,” kata ketua penyelidik Dr Thara Ali, seorang felo kardiologi di Sekolah Perubatan Geisel di Kolej Dartmouth, Hanover, New Hampshire.

    Bukti semakin meningkat yang mencadangkan bahawa pemeriksaan mamogram mungkin menjadi alat yang berguna untuk meramalkan risiko kardiovaskular. – Freepik
    Gambar Freepik
    Penyakit jantung adalah punca utama kematian di Amerika Syarikat (AS), dengan strok di tempat kelima. – Freepik
    Gambar Freepik

    “Kami mengatakan pesakit ini boleh dikategorikan berisiko dengan mamogram rutin yang mereka lakukan setiap satu hingga dua tahun. Ini adalah cara yang agak mudah dengan rata-rata pakar kardiologi dapat mengetahui sama ada seseorang wanita itu berisiko.”

    PENYAKIT JANTUNG PUNCA KEMATIAN

    Penyakit jantung adalah punca utama kematian di Amerika Syarikat (AS), dengan strok di tempat kelima.

    Tetapi sementara kadar kematian kardiovaskular telah menurun, pengurangan itu lebih ketara dalam kalangan lelaki dan kekal tidak berubah dalam kalangan wanita di bawah umur 55 tahun.

    “Ini adalah bidang utama yang kami gagal sebagai pakar-pakar kardiologi,” kata Ali.

    “Kami benar-benar cuba menangani jurang itu dengan penyelidikan ini.”
    Kajiannya dibina berdasarkan bukti semakin meningkat yang mencadangkan bahawa pemeriksaan mamogram mungkin menjadi alat yang berguna untuk meramalkan risiko kardiovaskular kerana ia mendedahkan kehadiran pengkalsiuman arteri payudara, atau BAC.

    Penyelidikan terdahulu telah menetapkan BAC sebagai faktor risiko penyakit kardiovaskular.

    Semasa satu dekad susulan, penyelidik melihat hubungan antara BAC dan kejadian kardiovaskular utama, yang termasuk serangan jantung, strok, meletakkan stent untuk memastikan arteri terbuka dan kematian daripada sebarang sebab.

    Kajian itu melibatkan 1,216 orang wanita berumur 40 hingga 75 tahun yang menerima pemeriksaan mamogram di Pusat Perubatan Dartmouth Hitchcock. Mereka tidak mempunyai penyakit arteri koronari apabila kajian bermula.

    Para penyelidik mendapati BAC dikesan melalui pemeriksaan mamogram untuk satu dalam lima wanita, dan dua kali lebih ramai wanita dengan BAC mengalami kejadian kardiovaskular utama dalam tempoh 10 tahun berbanding mereka yang mamogramnya tidak menunjukkan pengkalsiuman arteri.

    Dalam kalangan mereka yang mempunyai BAC, 21 peratus kemudiannya mengalami kejadian kardiovaskular, berbanding 11 peratus wanita tanpa BAC.

    Wanita dengan BAC adalah lebih tua, lebih berkemungkinan menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis, dan lebih berkemungkinan mengambil ubat statin penurun kolesterol dan ubat tekanan darah.

    Ali dan rakan-rakannya juga melihat perbandingan keputusan berkenaan dengan ramalan risiko kardiovaskular yang dibuat menggunakan Pooled Cohort Equation, yang merupakan standard semasa untuk meramalkan risiko kardiovaskular dalam kalangan lelaki dan wanita.

    Mereka mendapati persamaan risiko merendahkan kejadian kardiovaskular masa
    depan dalam kalangan wanita dan kehadiran BAC adalah peramal yang lebih baik.

    Itu benar terutamanya dalam kalangan wanita yang skor persamaan risikonya meletakkan mereka pada risiko rendah, 18 peratus dengan BAC mengalami kejadian kardiovaskular, berbanding 7 peratus tanpa pengkalsiuman dalam arteri payudara mereka.

    PERINGKAT AWAL PENYELIDIKAN

    Penemuan berkenaan dianggap di peringkat awal sehingga keputusan penuh diterbitkan dalam jurnal semakan rakan sebaya.

    “Kami sentiasa cuba mencari cara optimum untuk meramalkan risiko dan mengoptimumkan strategi pencegahan sepanjang hayat wanita,” kata Dr Stacey Rosen, naib presiden kanan di Institut Katz untuk Kesihatan Wanita di Northwell Health, New Hyde Park, New York.

    “Alat biasa tidak berfungsi dengan baik untuk wanita,” katanya. “Kajian ini menambah laporan-laporan yang mencadangkan pengkalsiuman arteri payudara mungkin menjadi peramal risiko yang penting dan mudah didapati untuk wanita.”

    Rosen berkata penyelidik masih perlu menentukan sama ada BAC boleh meramalkan risiko kardiovaskular merentas kaum dan etnik yang berbeza, memandangkan kajian kini termasuk kebanyakannya wanita kulit putih bukan Hispanik, dan untuk menyiasat bagaimana kebolehan ramalan BAC dipengaruhi oleh kehadiran faktor risiko kardiovaskular yang lain.

    Penemuan-penemuan itu perlu disahkan dalam ujian-ujian besar yang mengikuti wanita dari semasa ke semasa supaya garis panduan boleh diwujudkan untuk melaporkan BAC kepada wanita dan profesional penjagaan kesihatan mereka apabila ia muncul pada mamogram, kata Ali.

    “Pakar-pakar radiologi melihat pengkalsiuman tetapi tidak melaporkannya kerana garis panduan tidak meminta mereka melaporkannya,” katanya.

    “Mereka kehilangan peluang untuk bercakap dengan wanita tentang mengurangkan faktor risiko kardiovaskular lain yang boleh diubah suai,” seperti kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, kurang aktiviti fizikal, merokok atau obesiti.

    “Kami tidak boleh mengubah pengkalsiuman arteri mereka, tetapi kami boleh menangani faktor risiko lain secara agresif, “ kata Ali. – AP

    Tip popular jaga jantung sihat

    • Kekal Aktif
    Salah satu tip paling mudah adalah awda perlu aktif secara fizikal. Jika awda kurang gemar atau tiada masa untuk bersenam, awda boleh memilih untuk berjalan di dalam rumah, naik turun tangga, berjalan santai di sekitar kawasan perumahan atau taman, selama 10 minit atau sebarang aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal.

    • Elak Merokok
    Merokok atau bersigup antara tabiat yang boleh mengancam kesihatan dan ia berisiko untuk menyebabkan masalah kesihatan serius pada paru-paru awda. Berhentilah merokok demi kesihatan jantung.

    • Pemakanan Seimbang
    Amalkan pengambilan diet pemakanan seimbang dengan perbanyakan makanan berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran, bijirin gandum dan produk tenusu tanpa lemak.

    • Kawal Berat Badan
    Berat yang berlebihan akan memberikan tekanan kepada jantung, sekali gus meningkatkan risiko untuk terdedah kepada strok, penyakit jantung, diabetes, dan tekanan darah tinggi.

    • Gembira
    Menjadi individu yang gembira antara tip untuk menjadikan jantung lebih sihat. Tekanan hanya akan meningkatkan risiko penyakit jantung. Emosi negatif seperti rasa marah boleh menyebabkan peningkatan dalam tekanan darah. Individu yang berdepan dengan isu kemurungan adalah empat kali lebih berisiko untuk mengalami masalah serangan jantung. Lepaskan tekanan dan berkongsi rasa dan perasaan bersama orang terdekat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda