Saturday, February 22, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mamut tidak dapat beraksi menentang JDT Jumaat ini

    KUALA NERUS, 14 JAN – Penyokong Skuad Penyu terpaksa melupakan hasrat untuk melihat penampilan pertama penyerang import, Ivan Mamut, musim ini selepas disahkan tidak dapat diturunkan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Jumaat ini.

    Ini selepas ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali, mengesahkan pemain kelahiran Croatia itu tidak dapat disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan kerana perlu menjalani rawatan pemulihan oleh pasukan perubatan Terengganu FC (TFC).

    Badrul Afzan berkata beliau memahami kerinduan serta keghairahan peminat bola sepak yang ingin menyaksikan penampilan semula Mamut di atas padang selepas berehat panjang hampir setahun akibat kecederaan di kaki kiri tahun lalu. “Beliau sudah kembali ke Terengganu Rabu lepas namun masih belum menyertai latihan dan berada dalam tempoh pemulihan akibat kecederaan perlawanan musim lalu.

    “Saya minta penyokong mendoakan agar Mamut cepat sembuh dan dapat membantu pasukan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia dan baki Liga Super,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

    Bagaimanapun, Badrul Afzan yang juga bekas pemain tengah Terengganu berkata ketiadaan Mamut tidak menjejaskan persiapan pasukan kerana TFC masih mempunyai dua tonggak import iaitu Ismaheel Akinade dan Nelson Bonilla serta pemain tempatan berkualiti di posisi serangan.

    “Safawi (Muhammad Safawi Rasid) dan Akhyar (Muhammad Akhyar Rashid) juga tidak dapat beraksi kerana terikat dengan perjanjian bersama kelab JDT. “Tetapi, kita tidak berputus asa dan pasukan sedang membuat persiapan rapi untuk menghadapi tentangan pasukan nombor satu negara,” katanya. Musim lalu, Mamut yang digelar ‘mesin gol’ oleh penyokong pasukan hitam putih mencatat rekod cemerlang apabila meledak 23 gol dalam 35 penampilan bersama skuad Penyu. – Bernama

    Gambar bertarikh 17 Disember 2023 menunjukkan reaksi Mamut selepas menyumbangkan gol pertama buat pasukannya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda