Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah perkembangan terkini pemain gitar legenda, Man Kidal, 57, yang bukan sahaja disahkan positif COVID-19, malah berdepan kesempitan hidup akibat tidak bekerja lebih setahun lalu.
Berkongsi perkara itu, isteri Man Kidal, Norlaila Yusof mendedahkan hidup mereka sukar sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac tahun lalu apabila kerajaan melarang aktiviti persembahan terbuka demi mengawal penularan COVID-19.
Norlaila yang juga pengurus Man Kidal memberitahu, suaminya yang menjadikan bidang muzik sebagai periuk nasi, hilang pendapatan akibat tiada ‘job’.
“Dalam situasi sekarang, saya rasa sedih dengan nasib menimpa suami. Sudahlah hampir dua tahun tidak dapat bekerja, sekarang dijangkiti COVID-19.
“Terus-terang, kami memang mengharapkan bantuan seikhlas hati daripada mana-mana pihak.
“Tidak kisahlah apa sahaja bantuan yang bakal dihulurkan. Dengan keadaan abang Man yang dijangkiti virus COVID-19 dan tidak berkerja, kami terima sahaja.
“Lagipun, sepanjang pembabitan abang Man dalam bidang seni, belum pernah kami meminta bantuan daripada mana-mana pihak. Kalau ada pun, tak pernah dapat,” katanya.
Disebabkan tidak dapat bekerja, Norlaila memberitahu, suaminya berusaha mencari ikhtiar lain untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk berniaga dan melakukan projek tertentu yang boleh menampung kehidupan.
Bagaimanapun, usaha itu terbantut disebabkan pandemik COVID-19. – Agensi
