Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Man United belasah teruk Club Brugge 5-0

    MANCHESTER, 28 FEB – Pemain perancang Portugis, Bruno Fernandes terus membuktikan bahawa yuran perpindahan sebanyak 80 juta euro yang dikeluarkan oleh Manchester United kepada Sporting Lisbon pada jendela perpindahan Januari lalu adalah sangat berbaloi.

    United yang menerima kunjungan Club Brugge dalam pusingan kedua kelompok 32 terakhir di saingan Liga Europa, setelah mencatat keputusan seri 1-1 di Belgium minggu lepas. Pemain bintang baharu United, Fernandes menyempurnakan sepakan penalti buat United pada minit ke-27 sekali gus meletakkan United di hadapan.

    Sebelum itu, Club Brugge kehilangan seorang pemain kerana layangan kad merah. Sebelum tamat separuh masa pertama, United berjaya menjaringkan dua gol masing-masing menerusi penyerang Odion Ighalo pada minit ke-34 dan pemain tengah, Scott McTominay empat minit sebelum tamat separuh masa pertama.

    Pada minit ke-65, pemain England, Jesse Lingard telah dibawa masuk menggantikan Bruno Fernandes. Penyokong di Old Trafford turut berdiri untuk memberi tepukan penghargaan kepada Fernandes ketika beliau digantikan. Fernandes melalui transisi yang lancar ketika berpindah dari Portugis untuk bermain di Liga Perdana Inggeris, di mana beliau telah berpindah dari Sporting Lisbon ke Manchester Januari lalu dan setakat ini mencatatkan gol dan bantuan gol ketika United menewaskan Watford minggu lalu.

    Di separuh masa kedua, United berjaya menambah dua lagi gol hasil daripada pemain Brazil, Fred.

    Di akhir perlawanan, United berjaya menewaskan Club Brugge dengan jaringan 5-0. Dengan jaringan tersebut melayakkan United untuk mara ke peringat 16 terakhir di saingan Liga Europa dengan agregat 6-1.

    Dalam perlawanan lain, kelab Liga Perdana Inggeris yang turut layak ke pusingan seterusnya adalah Wolverhampton setelah berjaya menewaskan Espanyol dengan agregat 6-3 walaupun mengalami kekalahan pada pusingan kedua 3-2. – AP

    Aksi pemain United, Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan mereka di hadapan ketika menentang Club Brugge di Old Trafford, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda