LONDON, 30 DIS – Manchester City menewaskan Brentford 1-0 hari ini untuk melebarkan kedudukan pendahulu Liga Perdana kepada lapan mata selepas seteru utama, Chelsea sekadar seri 1-1 dengan Brighton di halaman sendiri.
Jaringan Phil Foden pada babak pertama sudah mencukupi untuk memberikan kemenangan ke-10 berturut-turut bagi skuad bimbingan Pep Guardiola selepas mereka memanfaatkan sepenuhnya masalah kecederaan yang melanda Chelsea di Stamford Bridge.
Juara bertahan itu kini mengumpul 50 mata selepas 20 perlawanan sekali gus menyaksikan mereka mempunyai kelebihan lapan mata berbanding Chelsea di tempat kedua.
Liverpool yang tewas kepada Leicester semalam pula ketinggalan sembilan mata di tempat ketiga.
Brentford memberi ancaman di awal permainan namun City mendahului di depan selepas 16 minit menerusi Foden yang menyempurnakan hantaran cantik Kevin De Bruyne.

Di sebalik menguasai permainan, City hanya mampu melakukan tiga percubaan tepat.
Guardiola yang memuji aksi menakjubkan Foden enggan berasa berpuas hati di sebalik skuad bimbingannya mempunyai kelebihan cukup selesa dalam saingan Liga Perdana.
“Masih terdapat 54 mata lagi untuk diraih. Kami tidak menjangka mempunyai kelebihan lapan mata tetapi Liverpool masih kurang satu perlawanan.
“Pada Disember, tiada pasukan yang layak digelar juara. Kami mungkin akan tewas dalam beberapa perlawanan. Saya lihat cabaran dari Arsenal, Chelsea, Southampton dan lain-lain.
“Saya hanya mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan tetapi kami harus kekal fokus,” katanya kepada BBC. – AFP