LONDON, 28 FEB – Pemain pertahanan Manchester City, Ruben Dias dan John Stones membantu pendahulu Liga Perdana Inggeris menewaskan West Ham 2-1 kelmarin, sementara West Brom meneruskan perjuangan untuk selamat dari penyingkiran dengan mencatat kemenangan kontroversi 1-0 ke atas Brighton di mana The Seagulls terlepas dua sepakan penalti.
Pasukan Pep Guardiola kini 13 mata di hadapan selepas merekodkan kemenangan dalam 20 perlawanan berturut-turut di semua kejohanan dan menyaksikan mereka semakin hampir meraih empat trofi pada musim ini.
Buat kali pertama dalam tempoh beberapa minggu, City menunjukkan tanda-tanda kepenatan dan memerlukan gandingan pemain pertahanan mereka untuk memainkan peranan dalam kejayaan mereka untuk menjaringkan gol.
“Selepas 10 atau 15 minit hari ini, kami menyedari kami tidak akan melalui segala-galanya dengan mudah,” kata Guardiola.
“Apabila anda bermain terlalu banyak perlawanan – dalam liga dan kemudian di Liga Juara-Juara – ini adalah perkara biasa. Kami bernasib baik untuk meraih tiga mata penuh.
Kevin De Bruyne membuat penampilan kedua musim ini sejak kembali dari kecederaan dan hantaran lintang pemain Belgium itu ditanduk masuk oleh Dias, gol pertama sejak menyertai City dari Benfica pada September. City mengekalkan rekod lapan perlawanan tanpa bolos dalam 10 pertemuan liga, tetapi West Ham menunjukkan mengapa mereka berada di tangga keempat dan bersaing dengan pasukan Liverpool, Chelsea, Tottenham dan Arsenal untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.
“Saya kecewa kami tidak beroleh sebarang mata,” kata pengurus West Ham, David Moyes. “Persembahan yang sangat bagus. Kami datang ke mari dan cuba menyaingi pasukan teratas – dan bagi tempoh yang lama kami memberikan saingan baik.”
Michail Antonio turut mengancam menjaringkan gol penyamaan setelah percubaannya menggegar gawang sebelum berjaya menjaringkan gol setelah Jesse Lingard terlepas membuat percubaan sebelum separuh masa. – AFP