LONDON, 14 Julai – Pertahanan England dan Tottenham Hotspur, Kyle Walker dijangka melengkapkan perpindahan ke Manchester City, dengan membabitkan nilai sejumlah 50 juta pound, lapor BBC dan British Press Association.
Pemain berusia 27 tahun itu, yang menyertai Spurs bersama Kyle Naughton dari Sheffield United pada 2009, dijangka menjalani ujian perubatan bersama Man City hari ini dan akan menyertai pra-musim skuad itu di Amerika Syarikat.
Pemain yang memiliki 27 kaps bersama England dan lebih 180 penampilan bersama Spurs pada musim lalu itu kurang menjadi pilihan pengurus Spurs, Mauricio Pochettino yang lebih memilih untuk menurunkan Kieran Trippier.
Walker akan muncul sebagai penerima pendapatan lebih tinggi berbanding apa yang ditawarkan kepada pemain pertahanan Brazil, Dani Alves yang sebelum ini menimbulkan kemarahan Pep Guardiola selepas menyertai Paris Saint-Germain dari Juventus.
Menurut laporan media British, Guardiola turut menyediakan 40 juta pound untuk pemainpertahanan kiri, Benjamin Mendy.
Guardiola kini berada bawah tekanan untuk meraih trofi musim depan selepas menamatkan musim lalu tanpa sebarang piala. Sebelum ini, Guardiola sudah pun melengkapkan perpindahan pemain sayap dari Portugal, Bernardo Silva dari Monaco dengan nilai 42.5 juta pound. – AFP