WASHINGTON, 30 Julai – Manchester City meraih kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas pencabar di Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur dalam perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa, pagi tadi.
John Stones, Raheem Sterling dan Brahim Diaz masing-masing menjaringkan gol buat City yang sebelum ini garang membelasah juara Sepanyol, Real Madrid 4-1 pada perlawanan pertunjukan di Amerika Utara itu.
City mula mendahului seawal minit ke-10 pada aksi di Stadium Nissan apabila Jones melepaskan tandukan ke belakang menewaskan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris. Kelab bimbingan Pep Guardiola itu berpeluang untuk menambah jaringan namun kedudukan hanya menjadi 2-0 pada minit ke-72 selepas Samir Nasri bijak memperdaya pertahanan Spurs sebelum jaringan disempurnakan Sterling.
Diaz yang keluar daripada bangku simpanan kemudian meledak gol ketiga City pada masa kecederaan.
Peluang terbaik Tottenham muncul seawal minit ketiga namun cubaan pemain tengah, Dele Alli dapat dipatahkan penjaga gol City, Ederson.

Selepas cubaan itu, City bangkit dan mengawal penuh permainan dengan jaringan pembukaan Stones berpunca daripada sepakan percuma daripada Kevin De Bruyne.
Skuad Pep Guardiola akhirnya mendapat gol kedua mereka ketika Samir Nasri memecahkan pertahanan Spurs dan disudahi oleh Sterling.
City dijadual bermain pada perlawanan pra musim terakhir melawan West Ham di Reykjavik manakala Tottenham dijadual menentang juara Itali, Juventus di Wembley pada 5 Ogos. – AFP