Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manchester United cetus kebangkitan epik

    MANCHESTER, 18 APRIL – Harry Maguire menanduk masuk gol kemenangan ketika Manchester United melakukan kebangkitan luar biasa dalam masa tambahan untuk menewaskan Lyon dan mara ke separuh akhir Liga Europa, sekali gus menetapkan pertemuan menentang Athletic Bilbao.

    Tandukan Maguire pada masa tambahan memberikan kemenangan 5-4 kepada United di Old Trafford, dan keputusan agregat 7-6.

    United kelihatan seakan bakal mara dengan mudah ke separuh akhir selepas keputusan seri 2-2 pada aksi pertama minggu lalu di Perancis, apabila Manuel Ugarte menyudahkan hantaran lintang Alejandro Garnacho pada minit ke-10, diikuti jaringan Diogo Dalot pada masa kecederaan babak pertama.

    Bruno Fernandes hampir menambah jaringan apabila sepakan volinya terkena palang dan United mempunyai beberapa peluang lagi untuk menamatkan saingan sebelum Corentin Tolisso menanduk masuk pada minit ke-71 untuk menghidupkan harapan Lyon.

    Nicolas Tagliafico kemudiannya menyamakan kedudukan perlawanan dan juga agregat, dengan permainan berbaki 12 minit, apabila bola hasil sepakannya melepasi garisan gol sebelum penjaga gol Andre Onana sempat menepisnya.

    Aksi Bruno Fernandes melakukan sepakan voli semasa perlawanan timbal balik suku akhir Liga Europa antara Manchester United dan Olympique Lyon di Manchester, Britain, pada 17 April. – AP

    Lyon kemudian kehilangan Tolisso yang dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua sebelum tamat masa sebenar, tetapi mereka bangkit mendahului 3-2 apabila Rayan Cherki menyudahkan larian cemerlang Malick Fofana pada minit ke-105.

    Pasukan Perancis itu dilihat bakal mara apabila Alexandre Lacazette menjaringkan penalti lima minit selepas separuh masa kedua masa tambahan bermula, menjadikan kedudukan 4-2 pada malam itu, dan agregat 6-4, selepas Luke Shaw menjatuhkan Fofana dalam kotak penalti.

    Namun, tidak lama selepas sepak mula semula, United pula dianugerahkan sepakan penalti selepas semakan VAR mendapati berlaku kekasaran terhadap Casemiro dan Fernandes tenang menyempurnakannya untuk menghidupkan semula peluang United.

    Jaringan kemas pemain gantian, Kobbie Mainoo, menyamakan agregat pada minit ke-120, seolah-olah membawa perlawanan ke penentuan penalti, namun Maguire muncul wira apabila menanduk masuk hantaran silang Casemiro untuk mencetuskan kegembiraan luar biasa di atas padang dan dalam kalangan penyokong di Old Trafford. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda