MANCHESTER, 15 OGOS – Bruno Fernandes menjaringkan hatrik dan Paul Pogba menyumbang empat assist ketika Manchester United membelasah Leeds United 5-1 di Old Trafford kelmarin untuk memulakan kempen musim baharu Liga Perdana Inggeris mereka dengan penuh bergaya.
Beraksi di hadapan 73,000 penyokong, jumlah kehadiran peminat tertinggi dalam sukan bola sepak di United Kingdom sejak Mac 2020, United menguasai perlawanan dengan persembahan memukau dua pemain tengah mereka dan mencetuskan harapan untuk mencabar kejuaraan liga kali pertama sejak Alex Ferguson bersara sebagai pengurus pada 2013.
Fernandes meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada separuh masa pertama, tetapi Leeds berjaya menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua menerusi percubaan menarik Luke Ayling.
Walau bagaimanapun, dengan Pogba mempamerkan aksi cemerlang, United kembali di hadapan selepas pemain kebangsaan Perancis itu membuat hantaran kepada Mason Greenwood, Fernandes dan Fred untuk mencipta gol, sementara Fernandes melengkapkan hatrik pertama bersama United dengan penuh bergaya.
“Ramai yang bercakap mengenai kualiti dimiliki Paul (Pogba), tetapi kualiti tersebut tidak dibincangkan,” kata Fernandes.
“Kami tahu kemampuan yang dimilikinya dan hari ini dia mempamerkan kebolehan tersebut. Dia pemain yang cukup penting bagi kami.” – AFP
