Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mandi ais rangsang sistem saraf kawal tekanan

    CHICAGO – Perkara paling menarik di media sosial hari ini mungkin mengenai selebriti dan orang biasa terjun ke dalam air sejuk atau mandi ais.

    Faedah mandi ais yang dikenal pasti adalah seperti membuatkan rasa ceria, lebih banyak tenaga, penurunan berat badan dan mengurangkan keradangan, tetapi bukti secara saintifik mengenai dakwaan faedah tersebut tidak begitu kuat.

    Kim Kardashian menyiarkan aksinya mandi di dalam air berais di Instagram.

    Harry Styles juga telah menulis di akaun Twitternya mengenai percubaannya mandi ais.

    Kristen Bell berkata terjunannya ke dalam air ais adalah sangat sejuk tetapi menaikkan semangat.

    Dan O’Conor memakai jubahnya selepas terjun ke perairan Tasik Michigan yang sejuk. – AP
    George Miller berenang di perairan Tasik Michigan yang sejuk di Chicago. – AP

    Dan Lizzo mendakwa terjunan ais mengurangkan keradangan dan membuatkan badannya berasa lebih baik.

    Itulah yang dikatakan oleh bukti perubatan, pakar dan peminat tentang amalan itu, yang bermula sejak berabad-abad lalu.

    Minda

    Awda boleh memanggil Dan O’Conor sebagai amatur dalam rendaman air sejuk.

    Sejak Jun 2020, lelaki Chicago berusia 55 tahun itu telah terjun ke Tasik Michigan hampir setiap hari, termasuk pada pagi musim sejuk apabila dia terpaksa menggali lubang pada permukaan tasik yang beku.

    “Peningkatan endorphin adalah cara yang luar biasa untuk bangun dengan hanya mengejutkan badan, seperti menghidupkan enjin,” kata O’Conor pada pagi apabila suhu udara membeku pada -5 Celsius.

    Endorfin ialah hormon yang membuatkan seseorang merasa baik, yang dikeluarkan sebagai tindak balas kepada kesakitan, tekanan, senaman dan aktiviti lain.

    Dengan suhu tasik 1 Celsius, O’Conor melakukan lompatan berlari dari pantai yang dilitupi salji untuk membuat pusingan ke hadapan ke dalam air berais.

    Pertama kali dia mencuba mandi air ais ini adalah pada awal pandemik COVID-19, ketika isterinya merasa geram terhadapnya dan memberitahunya untuk pergi melompat ke dalam tasik.

    Dia kemudian melakukannya dan air terasa baik pada waktu itu. Pada ketika dunia berdepan dengan wabak pandemik koronavirus, O’Conor berkata, dia meneruskan amalannya untuk mandi air ais. Apabila air semakin sejuk mengikut musim, kesan psikologi lebih hebat, katanya.

    “Kesihatan mental saya jauh lebih kuat, lebih cerah. Saya merasa sangat semangat dengan melompat ke dalam tasik yang menyegarkan badan saya,” kata O’Conor. Dr Will Cronenwett, ketua psikiatri di sekolah perubatan Feinberg Universiti Northwestern, mencuba rendaman air sejuk sekali, beberapa tahun lalu semasa melawat rakan Scandinavia di sebuah pulau Baltik.

    Selepas bersauna, dia terjun ke dalam air ais selama beberapa minit dan mengalami apa yang dipanggil pengalaman yang pedih dan menyegarkan.

    “Rasanya saya seperti ditikam dengan ratusan juta jarum elektrik yang sangat kecil,” katanya.

    “Saya berasa seperti saya kuat dan berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja.” Terdapat beberapa teori tentang bagaimana ia mempengaruhi dan memberi kesan terhadap tubuh badan.

    Cronenwett berkata rendaman air sejuk merangsang bahagian sistem saraf yang mengawal keadaan sedang berehat atau relaks. Itu boleh meningkatkan perasaan yang sangat baik.

    Ia juga merangsang bahagian sistem saraf yang mengawal tindak balas terhadap tekanan untuk melawan atau lari. Melakukannya secara tetap boleh melemahkan tindak balas itu, yang seterusnya boleh membantu orang ramai berasa lebih mampu menangani tekanan lain dalam kehidupan mereka, walaupun itu tidak terbukti, katanya.

    “Awda perlu menakluki kebimbangan awda sendiri. Awda perlu mengumpulkan keberanian untuk melakukannya,” katanya. “Dan apabila awda akhirnya melakukannya, awda berasa seperti awda telah mencapai sesuatu yang bermakna. Awda telah mencapai matlamat.”

    Penyelidik Czech mendapati bahawa mandi dengan air sejuk boleh meningkatkan dopamin, satu lagi hormon yang mencetuskan perasaan gembira di dalam otak manusia. Dopamin akan meningkat sebanyak 250 peratus, jumlah yang tinggi dan sama keagresifan dengan paranoia dan pencerobohan, kata ahli fisiologi, James Mercer, seorang profesor emeritus di Universiti Artik Norway yang bersama-sama mengarang kajian saintifik baru-baru ini mengenai kajian rendaman air sejuk.

    Jantung

    Berendam dalam air sejuk meningkatkan tekanan darah dan meningkatkan tekanan pada jantung. Kajian telah menunjukkan amalan ini adalah selamat untuk orang yang sihat dan kesannya hanya sementara. Tetapi ia boleh berbahaya bagi orang yang mengalami masalah jantung, kadang-kadang membawa kepada degupan jantung tidak teratur yang mengancam nyawa, kata Cronenwett. Orang yang mempunyai masalah jantung atau sejarah keluarga penyakit jantung awal harus berunding dengan doktor sebelum melakukannya, katanya.

    Metabolisme

    Berendam di dalam air sejuk berulang kali semasa musim sejuk telah menunjukkan dapat memperbaiki cara badan bertindak balas terhadap insulin, hormon yang mengawal paras gula dalam darah, kata Mercer.

    Ini mungkin membantu mengurangkan risiko diabetes atau mengekalkan penyakit di bawah kawalan yang lebih baik pada orang yang sudah terjejas, walaupun lebih banyak kajian diperlukan untuk membuktikannya.

    Rendaman air sejuk juga mengaktifkan salah satu jenis lemak yang membantu memanaskan badan dan membantu mengawal gula dalam darah dan paras insulin. Ia juga membantu badan membakar kalori, yang telah mendorong penyelidikan sama ada rendaman air sejuk adalah cara yang berkesan untuk menurunkan berat badan. Bukti setakat ini tidak dapat disimpulkan.

    Sistem imun

    Penyelidikan mencadangkan bahawa orang yang berenang dalam air sejuk secara rutin mendapat kurang jangkitan selesema, dan terdapat bukti bahawa ia boleh meningkatkan tahap sel darah putih tertentu dan bahan melawan jangkitan lain.

    Sama ada rendam sekali-sekala dalam air ais boleh menghasilkan kesan yang sama tidak jelas. Antara soalan terbesar yang belum terjawab: Seberapa sejuk air perlu untuk mencapai manfaat kesihatan? Dan adakah tempoh berendam sekejap mendapat manfaat yang sama jika berada di dalam air sejuk untuk tempoh yang lama?

    “Tiada jawapan untuk ‘lebih sejuk lebih baik,'” kata Mercer. “Selain itu, ia bergantung pada jenis tindak balas yang awda mahu. Contohnya, sesetengahnya berlaku dengan cepat, seperti perubahan dalam tekanan darah, dan yang lain, seperti pembentukan lemak, mengambil masa yang lebih lama.”

    O’Conor terjun sepanjang tahun, tetapi dia berkata berendam pada musim sejuk adalah yang terbaik untuk kesihatan mental, walaupun kadang-kadang hanya bertahan 30 saat.

    Pada pagi yang berais itu, dia mengosongkan mindanya dan fokus untuk masuk ke dalam tasik, dan kemudian yang lebih penting, keluar dari tasik beku itu. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda