(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Kebersihan merupakan suatu perkara yang sangat diutamakan dalam Islam. Selain menjadi syarat sah ibadat, kebersihan juga sangat dituntut sebagai cara hidup, etika bermasyarakat dan lain-lainnya, bahkan lebih besar daripada itu, kebersihan juga merupakan suatu ibadah.
Antara contoh kebersihan yang sangat dititikberatkan dalam syariat Islam ialah pensyariatan mandi ketika hendak menghadiri sembahyang Jumaat, bahkan ia merupakan mandi sunat yang paling utama di antara kesemua mandi-mandi sunat.
Antara sebab keutamaan mandi sunat sembahyang Jumaat itu ialah kerana kebesaran hari Jumaat itu sendiri.
Allah SWT telah memilih hari Jumaat sebagai suatu hari yang sangat istimewa bagi umat Nabi Muhammad SAW, dengan menjadikannya sebagai hari besar mingguan bagi seluruh kaum muslimin, serta memerintahkan untuk mengadakan satu sembahyang yang khas bagi menandakan kebesaran hari Jumaat untuk menggantikan sembahyang Zuhur.
Hukum dan hikmah pensyariatan mandi sunat sembahyang Jumaat
Menurut ulama, sunat bagi orang yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat untuk mandi.

Secara ringkasnya, sunat hukumnya bagi sesiapa sahaja yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat untuk mandi, sungguhpun orang tersebut tidak wajib ke atasnya sembahyang Jumaat seperti perempuan atau hamba.
Ini berdasarkan sebuah hadis sahih yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa daripada kamu yang datang untuk mendirikan sembahyang Jumaat, maka hendaklah dia mandi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah lagi hadis yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata bahawa Baginda SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang hendak pergi (sembahyang) Jumaat daripada lelaki mahupun perempuan maka hendaklah dia mandi, dan siapa yang tidak pergi (sembahyang Jumaat) maka tidaklah (disyariatkan) baginya untuk mandi.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan al Baihaqi)
Daripada dua buah hadis ini, dapatlah difahami bahawa mandi sunat sembahyang Jumaat ini hanya disyariatkan bagi orang yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat sahaja, adapun orang yang tidak menghadirinya, mereka tidak dituntut untuk mengerjakannya.
Walau bagaimanapun, jika ditinggalkan mandi sunat sembahyang Jumaat ini tidaklah ia sampai menjejaskan sembahyang Jumaat, dan tidak pula ianya menyebabkan berdosa. Akan tetapi makruh hukumnya jika ia ditinggalkan tanpa sebarang keuzuran.
Adapun antara hikmah mandi sunat sembahyang Jumaat ini disyariatkan, adalah untuk tujuan kebersihan, iaitu menghilangkan bau-bau yang kurang menyenangkan yang ada di tubuh badan kerana dikhuatiri boleh mengganggu jemaah sembahyang Jumaat yang lain.
Di samping itu, ianya mampu memberikan keselesaan kepada saudara-saudara seagama yang turut sama hadir ke masjid ketika itu.
Sunat berwuduk sebelum memulakan mandi sunat sembahyang Jumaat, sebagaimana juga disunatkan dalam kesemua mandi-mandi sunat dan wajib.
Disunatkan juga mendirikan sembahyang sunat dua rakaat setelah selesai menyempurnakan mandi-mandi sunat dan wajib tersebut.
Waktu mandi sunat sembahyang Jumaat
Waktu mandi sunat sembahyang Jumaat itu bermula setelah terbit fajar sadiq, dan menurut ulama adalah tidak memadai jika ianya dilakukan sebelum terbit fajar sadiq.
Adapun mengakhirkannya sehingga hendak keluar rumah untuk pergi menghadiri sembahyang Jumaat adalah lebih afdal, kerana ini lebih dekat dengan maksud pensyariatannya.
Mandi sunat sembahyang Jumaat ini habis waktunya setelah selesai sembahyang Jumaat, iaitu setelah imam memberi salam.
Jika bertembung dua keutamaan antara mandi dan awal ke masjid, maka mandi ataupun gantiannya seperti tayamum adalah lebih diutamakan jika tidak dikhuatiri luput sembahyang Jumaat itu.
Permasalahan-permasalahan mandi sunat sembahyang Jumaat
Kaifiat yang paling afdal dalam mengerjakan mandi sunat sembahyang Jumaat mahupun mandi-mandi sunat yang lain ialah dengan mengerjakannya sepertimana kaifiat mengerjakan mandi wajib.
Para ulama sepakat mengatakan bahawa mandi sunat sembahyang Jumaat ini tidak akan batal dengan sebab berlaku hadas sama ada hadas kecil ataupun besar.
Maka jika berlaku hadas kecil, memadailah dia berwuduk sahaja bagi mengangkat hadas kecil itu, dan jika berlaku hadas besar, memadailah dia mandi junub sahaja bagi mengangkat hadas besar tersebut.
Jika terdapat keuzuran syari‘e untuk menggunakan air, umpamanya kerana sakit ataupun kerana ketiadaan air, maka disunatkan untuk bertayamum, dengan meniatkan bahawa tayamum itu adalah sebagai ganti mandi sunat sembahyang Jumaat. Lafaz niatnya yang bermaksud:
Ertinya: “Sahaja aku bertayamum sebagai ganti mandi sunat sembahyang Jumaat.”
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, tayamum ini juga boleh menjadi ganti kepada mandi-mandi sunat yang lainnya jika terdapat keuzuran untuk menggunakan air.
Menurut pendapat Imam al-Qalyubi, Imam asy-Syaubari, Imam asy-Syarwani Rahimahumullah dan lain-lainnya, makruh bagi orang yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat meninggalkan tayamum ini jika terdapat keuzuran syari‘e untuk menggunakan air. Hukum ini diqiyaskan daripada hukum makruh meninggalkan mandi sunat sembahyang Jumaat tanpa sebarang keuzuran yang telah disebutkan sebelum ini.
Imam an-Nawawi dan Imam asy-Syarbini Rahimahumallah berpendapat bahawa barang siapa yang menyatukan dua mandi wajib dan mandi sunat, umpamanya dia berniat mandi junub bersama-sama dengan mandi sunat sembahyang Jumaat, maka sah dan diterima kedua-dua mandi tersebut.
Jika seseorang telah pun mandi sunat kerana suatu sebab, misalnya kerana hari raya, lalu berlaku lagi selepas itu satu perkara yang dituntut ke atasnya untuk mandi sunat, umpamanya kerana hendak menghadiri sembahyang Jumaat, maka tuntutan mandi sunat kerana hendak menghadiri sembahyang Jumaat itu tidak gugur, bahkan sunat baginya mandi lagi sekali kerana perkara-perkara yang baru berlaku itu.
Sunat dan lebih utama seorang yang sedang berpuasa meninggalkan mandi sunat sembahyang Jumaat ini dan mandi-mandi sunat yang lain jika dikhuatiri ianya boleh membatalkan puasa.
Kesimpulannya
Harus diingat bahawa tatkala kita melakukan ibadat menghadap Allah SWT, pastikan kita berada dalam keadaan yang bersih dan kemas.
Salah satu cara terbaik untuk membersihkan diri itu ialah mandi. Ingatlah bahawa Allah SWT amat suka kepada orang yang sentiasa membersihkan diri sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Surah al Baqarah, ayat: 222)
Mandi sunat sembahyang Jumaat, sungguhpun ianya hanyalah sunat, yang mana jika ditinggalkan tidaklah berdosa serta tidak pula menjejaskan sembahyang Jumaat.
Akan tetapi mengerjakannya secara kurang sempurna sepertimana yang dituntut oleh syarak, merupakan satu kerugian yang sangat besar kerana kedudukannya yang sangat tinggi di sisi Islam.
Sehinggakan dalam satu riwayat muttafaq ‘alaih, Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma telah menceritakan bahawa pada suatu hari Jumaat, sedang bapanya Sayyidina ‘Umar al-Khatthab Radhiallahu ‘anhu menyampaikan khutbah Jumaat, beliau terlihat Sayyidina ‘Utsman Radhiallahu ‘anhu baru masuk ke dalam masjid, beliau pun menegur yang maksudnya:
“Waktu apakah sekarang ini?”
Lalu Sayyidina ‘Utsman Radhiallahu ‘anhupun menjawab yang maksudnya:
“Sesungguhnya tadi aku sangat sibuk, sehinggakan aku tidak sempat pulang dulu kepada keluargaku, lalu aku pun terdengar azan, maka aku tidak menambah (apa-apa selain daripada) berwuduk.”
Lalu Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu pun berkata lagi yang maksudnya: “Dan juga (hanya) berwuduk? Sedangkan engkau telah mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya mandi”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat ini sewajarnya menjadi tauladan dan penyuntik semangat untuk lebih berusaha mengerjakan amalan-amalan yang disyariatkan, semata-mata kerana mencari rahmat dan keredhaan Allah SWT, sungguhpun ada kalanya suatu amalan itu pada penilaian kasar hanyalah suatu amalan yang sangat mudah dan ringan sahaja, dan sungguhpun ada kalanya hikmah serta fadilatnya hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja.
Ingatlah bahawa setiap yang disyariatkan oleh Allah SWT itu adalah yang terbaik untuk hambaNya.