Mane hukum kecuaian Chelsea

LONDON, 21 SEPT – Sadio Mane telah menghukum kecuaian Chelsea di mana penyerang Liverpool itu meledak dua gol selepas Andreas Christensen diarahkan keluar padang dalam kemenangan 2-0 kelmarin.

Mane meledakan dua gol itu dalam pertemuan pertama antara Liverpool dan Chelsea, antara pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan keputusan menyebelahi Liverpool.

Dalam masa kecederaan separuh masa pertama, Jordan Henderson menghantar bola kepada Mane yang sedang membuat larian di belakang Christensen dan pemain pertahanan Denmark tersebut melakukan kekasaran ke atas pemain bintang Senegal itu.

Pengadil perlawanan, Paul Tierney pada mulanya melayangkan kad kuning kepada Christensen, tetapi pengadil yang mengendalikan VAR menyarankannya untuk memeriksa skrin di tepi padang dan kemudiannya pengadil mengubah keputusan untuk memberikan kad merah.

Mane meraih gol pertamanya pada musim ini pada minit ke-50 selepas Roberto Firmino membuat hantaran lintang yang kemudian ditanduk masuk oleh Mane selepas melepaskan kawalan dari pemain pertahanan, Reece James.

Tidak lama kemudian, Mane dihadiahkan dengan pelung keemasan selepas penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga cuba untuk mengeluarkan bola, membenarkan penyerang Liverpool untuk memintas dan dengan mudah menjaringkan gol.

Insiden tersebut merupakan aksi kesilapan terbaharu Kepa, yang telah digugurkan sebanyak dua kali oleh pengurus Chelsea, Frank Lampard musim lalu meskipun statusnya sebagai penjaga gol paling mahal di dunia.

Lampard mendedahkan bahawa Chelsea dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan penjaga gol antarabangsa Senegal dari Rennes, Edouard Mendy sebagai pengganti kepada Kepa.

“Ia adalah kesilapan jelas dan Kepa mengakuinya,” kata Lampard. – AFP

Reaksi pemain penyerang Liverpool, Sadio Mane meraikan gol dalam pertembungan dengan pencabar EPL, Chelsea di Stamford Bridge. Mane berjaya meledak dua gol dalam perlawanan tersebut. – AFP