BAFOUSSAM, CAMEROON, 26 JAN – Pemain bintang Liverpool, Sadio Mane menamatkan kemarau gol selama 243 minit bersama Senegal semasa kemenangan 2-0 ke atas Cape Verde yang bermain dengan sembilan pemain dalam pertemuan sengit Piala Negara-Negara Afrika peringkat 16 terakhir di Bafoussam kelmarin.
Gol tersebut berjaya dijaringkan pada minit ke-63 selepas penjaga gol, Josimar ‘Vozinha Dias dan pemain tengah, Patrick Andrade dibuang padang.
Mane terpaksa meninggalkan padang sebaik sahaja berjaya memecah kebuntuan selepas mukanya bengkak berikutan pelanggaran dengan Vozinha, yang menyebabkanp pemain itu dilayangkan kad merah.
Bamba Dieng, yang mengganti Mane, menambah gol kedua pada masa tambahan melalui serangan balas yang meninggalkan seorang pemain pertahanan Cape Verde berdepan dengan dua penyerang Senegal.
Senegal, yang memburu kejuaraan pertama dalam saingan utama benua Afrika selepas dua kali menjadi naib juara, akan bertemu sama ada Mali atau Equatorial Guinea pada Ahad dalam pusingan suku akhir.
“Kami menjangkakan Cape Verde akan bermain dengan bertahan dan itulah yang berlaku,” kata jurulatih Senegal dan bekas pemain bintang, Aliou Cisse.
“Saya memberitahu pemain untuk lebih bersabar dan mereka mengikuti arahan dengan sempurna. Malah apabila Cape Verde bermain dengan 11 pemain, kami menguasai perlawanan tersebut.”
Sebelum perlawanan bermula, semua pasukan dan pegawai perlawanan berdiri tegak dan senyap untuk memberi penghormatan kepada lapan mangsa yang terlibat dalam runtuhan di Stadium Olembe, Yaounde Isnin lalu sebelum Cameroon menewaskan Comoros.
Cape Verde mengalu-alukan kepulangan ketua jurulatih mereka, Pedro ‘Bubista’ Brito, yang terpaksa menonton perlawanan peringkat kumpulan kerana sedang pulih daripada koronavirus. – AFP
