JOHANNESBURG, 19 NOV – Sadio Mane meraikan penampilan ke-100 bersama Senegal dengan menjaringkan dua gol ketika menang 4-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia ke atas Sudan Selatan dalam stadium yang kosong berdekatan Dakar, kelmarin.
Penyerang berpangkalan di Arab Saudi itu, yang menang anugerah Pemain Terbaik Tahunan Afrika dua kali, turut mencipta satu gol dalam perlawanan pusingan pertama Kumpulan B sebelum digantikan.
Kemenangan itu membolehkan penyandang juara Afrika, Senegal menghuni tangga teratas kumpulan di depan DR Congo menerusi perbezaan gol, ketika mereka mengintai peluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia kali ketiga berturut-turut pada tahun 2026.
Satu-satunya kekecewaan bagi Mane dan rakan sepasukannya ialah perlawanan itu terpaksa diadakan dalam stadium yang kosong selepas kekacauan penyokong pada pertembungan menentang Mesir tahun lalu.
Mane mengumpan gol buat pemain tengah Tottenham Hotspur, Pape Sarr untuk menyumbat masuk selepas hanya 37 saat dengan rembatan leret melepasi penjaga gol Sudan Selatan, Majak Mawith.
Dia menjaringkan gol lima minit kemudian, meluru menyambut hantaran ke belakang Habib Diallo sebelum menggelecek pertahanan lawan untuk merembat masuk dari jarak dekat.
Mawith, seorang daripada beberapa pemain berpangkalan di Australia dalam pasukan Sudan Selatan, tertewas sekali lagi pada minit terakhir babak pertama susulan percubaan Lamine Camara yang menerjah jaring.
Mane melengkapkan jaringan pada minit ke-56 dengan menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan terakhir bagi 26 perlawanan hari pertama di Afrika. – AFP
