Wednesday, March 19, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mane mungkin sertai kelab Al-Nassr

    TOKYO, 26 JULAI – Presiden Bayern Munich mengesahkan hari ini bahawa kelab itu sedar tentang ‘perbincangan awal’ mengenai laporan pemain depan, Sadio Mane, yang mungkin berpindah dari kelab juara Jerman tersebut ke kelab Arab Saudi, Al-Nassr, di mana dia akan bergandingan dengan Cristiano Ronaldo.

    “FC Bayern mendapat maklumat mengenai perkara ini,” kata Presiden kelab, Herbert Hainer, di Jepun semasa kunjungan pramusim, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Jerman, dpa.

    “Namun, ini adalah perbincangan awal, kita harus tunggu dan lihat,” ujarnya.

    Kenyataannya susulan laporan dalam akhbar tabloid Jerman Bild, yang mengatakan penasihat Mane akan berjumpa wakil dari Al-Nassr untuk membincangkan sebarang kemungkinan perjanjian. Selaku juara Liga Perdana dan Liga Juara-Juara dengan Liverpool, Mane akan menjadi pemain terbaharu dalam senarai pemain terkenal yang ditandatangani oleh kelab-kelab Arab Saudi.

    Mane masih memiliki dua tahun lagi dalam kontraknya dengan Bayern selepas musim pertamanya yang mengecewakan dan dipenuhi dengan kecederaan sejak menyertai Liverpool tahun lalu.

    Penyerang dari Senegal itu mencetak 12 gol dalam 38 perlawanannya bagi Bayern, namun hanya satu daripada gol itu berjaya dijaringkan selepas kecederaan kaki yang dialaminya pada bulan November yang menghalang dia daripada beraksi dalam Piala Dunia. Mane juga digantung satu perlawanan oleh Bayern kerana ‘kelakuan tidak senonoh’ pada April lalu selepas dia dilaporkan menumbuk rakan sepasukannya, Leroy Sane, di bilik persalinan selepas kekalahan Liga Juara-Juara menentang Manchester City.

    Hainer telah melabelkan musim pertama Mane di Bayern sebagai ‘tidak memuaskan, baik untuk dirinya mahupun untuk pasukan,’ seperti yang dilaporkan oleh dpa, semalam. – AP

    Aksi Sadio Mane semasa sesi latihan di stadium Munich, selatan Jerman, 23 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda