Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Mane sekali lagi punahkan harapan Mesir

    DIAMNIADIO, SENEGAL, 30 MAC – Bintang Liverpool, Sadio Mane menyempurnakan sepakan penentuan penalti kelmarin untuk membawa juara Afrika, Senegal ke Piala Dunia 2022 di Qatar sekali gus menyingkirkan Mesir.

    Cameroon, Ghana, Magribi dan Tunisia masing-masing turut layak ke final pada aksi playoff yang mendebarkan.

    Senegal memenangi pusingan kedua playoff Afrika 1-0 di Diamniadio hasil jaringan minit keempat dari Boulaye Dia dan kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat selepas masa tambahan.

    Sama seperti ketika bersaing di final Piala Negara-Negara Afrika bulan lalu, Mane diberi kepercayaan untuk mengambil sepakan penalti kelima Senegal dan sekali lagi tidak melakukan sebarang kesilapan untuk memberikan pasukannya memenangi perlawanan 3-1 dalam penentuan penalti.

    Antara tiga pemain Mesir yang gagal menjaringkan gol dalam penentuan penalti ialah rakan sepasukan Mane di Liverpool, Mohamed Salah, yang membuat rembatan melambung melepasi tiang gol.

    Aksi Sadio Mane mengawal bola semasa bermain menentang Mesir di kelayakan Piala Dunia, kelmarin.- AFP

    Hanya empat daripada sembilan sepakan penalti yang berjaya masuk dengan ketua pasukan, Kalidou Koulibaly dan Saliou Ciss membuat percubaan tersasar buat Senegal dan Salah, ‘Zizo’ dan Mostafa Mohamed turut gagal menyempurnakan sepakan buat Mesir.

    Ketika Senegal meraikan kelayakan kali kedua berturut-turut untuk bermain di Piala Dunia, Mesir terlepas peluang dengan sekali lagi ditundukkan Senegal tahun ini.

    Tiada jaringan dibuat semasa final Piala Negara-Negara Afrika yang mengheret perlawanan ke masa tambahan di Yaounde bulan lalu, membawa kepada penentuan penalti yang mana dimenangi Senegal 4-2 dengan Mane melakukan sepakan kelima untuk pasukannya.

    “Ia amat penting untuk memulakan cabaran dengan baik, sesuatu yang kami tidak pernah lakukan di Kaherah,” kata jurulatih Senegal, Aliou Cisse.

    “Pasukan ini lebih baik (berbanding skuad yang layak ke final pada 2018).

    “Kami (sepatutnya) layak lebih awal selepas terlepas beberapa peluang.”- AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...