TABIAT duduk untuk jangka masa lama sebenarnya boleh membahayakan kesihatan.
Apatah lagi bagi mereka yang duduk lapan jam sehari terutama membabitkan pekerja meja hadapan atau industri sehingga boleh mengakibatkan kaki kejang dan belakang badan mulai sakit.
Satu penyelidikan saintifik di Amerika Syarikat menunjukkan individu yang duduk dalam tempoh lama boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular dan obesiti. Ini kerana tiada pergerakan berlaku ditambah pula dengan kawasan persekitaran berhawa dingin yang akan memburukkan keadaan.
Bagi meredakan kesakitan, kejang kaki atau otot, individu memerlukan rehat selama 10 minit bagi mengembalikan tubuh dalam keadaan normal. Ini boleh dilakukan menggunakan kerusi dan menggerakkan bahagian badan terutama bahagian kaki dan pinggang.
Menurut juruterapi senaman Adasandha Anuar, ramai beranggapan bersenam hanya boleh dilakukan di gimnasium atau padang.
Tetapi sebenarnya mereka yang tiada masa beriadah boleh bersenam di pejabat selama 10 hingga 15 minit.
“Anda boleh menggunakan kerusi dan melakukan pergerakan yang berfungsi untuk mengempiskan perut dan mengecilkan paha. Gunakan kerusi yang kukuh dan tidak bergerak. Pilih kawasan lapang untuk melunjurkan kaki,” katanya.
Sebaik-baiknya buat pergerakan sebelum melakukan kerja atau pulang ke rumah. Ia akan memberikan kesan regangan pada bahagian betis dan paha sekali gus melancarkan aliran darah. Bagi yang sering tertekan dengan kerja yang banyak, senaman di pejabat juga sebagai satu cara meredakan tekanan di samping merehatkan badan dan fikiran.
Berikut antara contoh senaman yang boleh dilakukan di pejabat. Jika diamalkan secara konsisten ia mampu memberikan sedikit kelebihan terutama dari sudut kesihatan.
Kaki pada kerusi
Berdiri tegak kemudian letakkan kaki kanan pada kerusi sambil kedua tangan di pinggang. Secara perlahan-lahan turunkan badan sehingga kaki kanan membengkok 90 darjah.
Kemudian naikkan badan dan lakukan secara berulang-ulang sebanyak lapan kali. Kemudian tukar kaki kiri pula.
Senaman ini baik untuk mendapatkan kelegaan pada kaki dan pinggang. Lakukan secara konsisten dua minggu sekali untuk kesan yang optimum. Pada peringkat permulaan mungkin anda akan terasa ke-sakitan pada bahagian betis dan paha tetapi jika diteruskan rasa tegang ini akan hilang sepenuhnya.
Duduk di kerusi
Gunakan kerusi yang sama atau mengikut keselesaan anda. Duduk dengan badan berada dalam keadaan tegak. Kedua-dua kaki diluruskan ke bawah. Angkat kedua-dua kaki dalam posisi seperti mengayuh basikal.
Kemudian lakukan pergerakan sama seperti sedang berkayuh. Senaman ini agak berat namun kesannya sangat hebat kerana jika dilakukan dengan cara yang betul mampu memberikan kebaikan kepada otot paha dan perut.
Angkat kaki ke kiri dan kanan
Senaman paling ringkas dan mudah adalah dengan cara mengangkat kedua-dua kaki ke kiri dan kanan secara berselang-seli. Mula-mula duduk dengan cara menegakkan badan manakala kedua kaki dalam keadaan lurus ke bawah.
Kedua-dua tangan memegang pemegang kerusi angkat kedua kaki ke kiri dan ke kanan secara berulang-ulang.
Pergerakan ini memberikan kelebihan kepada otot perut, kaki dan paha. Pada mulanya anda dapat rasai ketegangan pada otot namun lama-kelamaan ia akan hilang. Senaman ini juga sangat menyeronokkan sekiranya dilakukan bersama rakan. – Agensi