Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaat halia untuk kesihatan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Bercakap mengenai halia, penulis terkenang tentang perbualan seorang rakan yang mengatakan ayahnya menyediakan halia untuk dimasak bagi santapan ibunya yang baharu melahirkan anak.

    Menurutnya, halia itu dijadikan sebagai ubat dalaman ibunya selepas bersalin yang berfungsi untuk mengecutkan peranakan walaupun belum ada laporan sahih mengatakan perkara tersebut, tapi ia sudah lama diamalkan dari zaman nenek moyang mereka lagi.

    Bagi penyediaan masakan halia katanya ia cukup ringkas. Halia perlu dikikis kulitnya, kemudian dihiris dan ditumbuk menggunakan lesung batu dan bukan dikisar kerana pes hasil kisaran akan menjadikan ia terlalu halus dan kurang sedap.

    Setelah itu pes halia tadi perlu ditumis sekejap bersama minyak bijan, telur dan sedikit garam serta dimakan bersama nasi putih.

    Mendengar daripada penjelasannya, penulis berasa kagum dapat berkongsi ilmu sekelumit namun berguna dan berpendapat mungkin sesetengah generasi masa ini, terutama wanita selepas bersalin tidak lagi mempraktikkan amalan tersebut atau kurang pengetahuan dan pendedahan mengenainya walhal ia dikatakan bagus untuk kesihatan dalaman dan penyembuhan beberapa penyakit lain.

    Halia merupakan sejenis tumbuhan yang selalu digunakan sebagai rempah perasa dalam masakan sejak zaman dahulu lagi yang memiliki banyak khasiat perubatan sekali gus kesihatan tubuh badan.
    Teh halia juga sering digunakan dalam rawatan mengurangkan senggugut. – Gambar hiasan

    Salah satu pilihan sarapan yang sihat ialah granola dan ia akan lebih berkhasiat lagi jika dicampur dengan halia iaitu dengan memasukkan kira-kira tiga sentimeter halia yang dicampurkan dengan madu, kemudian taburkan ke atas mangkuk berisi granola berkenaan – Gambar hiasan

    Sebelum mengamalkan pengambilan halia, perlu diketahui dahulu jenisnya yang pelbagai dan khasiat-khasiatnya untuk kesihatan.

    Jenis halia

    Halia atau nama saintifiknya Zingiber officinale Roscoe sejak dahulu lagi menjadi salah satu tumbuhan atau rempah penting dalam hampir semua masakan sama ada jenis sup, goreng, tumis dan rebus.

    Salah satu tumbuhan alami yang mempunyai rasa pedar, bersifat panas dan mewujudkan aroma wangi ini kebiasaannya tumbuh di negara-negara beriklim panas termasuk di China, India, Afrika, rantau Caribbean dan sudah pasti di Nusantara.

    Halia mempunyai beberapa varieti di mana setiap varieti adalah berbeza dari segi bentuk rizom, warna, kepedasan dan kandungan serat. Antaranya ialah halia Bentong, Indonesia, Cina, Tanjung Sepat, Tanduk Rusa, Tambunan dan Halia Bara. Namun tahukah anda bahawa halia ini mengandungi banyak khasiatnya?

    Keistimewaan halia untuk kesihatan

    Selain berperanan meluas sebagai ramuan dalam pelbagai hidangan, halia juga memberi banyak kebaikan dari sudut perubatan dan sekali gus untuk kesihatan.

    Secara umumnya, halia sememangnya dapat membantu meningkatkan kesihatan dalaman diri seseorang seperti melegakan loya, mengurangkan keradangan, membantu mengawal tahap kolesterol dan mengurangkan senggugut semasa haid.

    Halia juga dapat membantu dalam memperbaiki imuniti dalam badan, melegakan batuk dan sakit tekak dan mengurangkan sakit kepala.

    Dengan pengambilan hirisan kecil halia sehari, dapat membantu dalam mengurangkan risiko penyakit strok dengan menghapuskan lemak yang terkumpul dalam saluran arteri.

    Selain itu, ia juga mampu bertindak sebagai agen pembakar lemak bagi menghapuskan lemak tepu di dalam badan iaitu dengan membantu proses penghadaman dan meningkatkan kadar metabolisme di dalam badan.
    Dalam pada itu, halia yang mengan-dungi satu kompaun di dalamnya yang dikenali sebagai gingerol juga menjadi agen pencegah sel kanser terutamanya dalam rawatan kanser payudara dan juga kanser ovari.

    Pengambilan diet bersama halia

    Oleh yang demikian, alangkah baiknya jika para pembaca memulakan hari dengan mengamalkan pengambilan diet berasaskan tumbuhan alami ini.

    Bagaimana caranya? Salah satunya dengan menikmati kehebatan teh halia.

    Dengan memasukkan tiga batang serai dan tiga inci halia yang sudah ditumbuk bersama air dalam periuk lalu dimasak menggunakan api yang sederhana selama kira-kira satu jam sehingga air bertukar warna ala-ala teh O. Kemudian nikmatilah minuman berkenaan apabila sudah sejuk.

    Namun bagi pencinta kopi, anda juga boleh mencampurkan serbuk atau hirisan halia sekurang-kurangnya satu sudu teh ke dalam secawan kopi.

    Kombinasi kopi dan halia ini bukan sahaja memberi rasa yang pedas, berlemak dan lazat, tetapi ia juga boleh membantu pencernaan kerana ia merupakan satu kombo radikal bebas yang kuat, terutamanya kerana kopi adalah salah satu sumber antioksidan terbesar.

    Selain itu alternatif diet bersama halia juga dapat terhasil dengan menjadikannya sebagai halia smoothie dan ia amat sesuai diminum ketika perut masih kosong.

    Ini kerana terdapat pelbagai manfaat kesihatan seperti membantu meningkatkan metabolisme dan ia bagus untuk usus.

    Dalam pada itu, salah satu pilihan sarapan yang sihat ialah granola dan ia akan lebih berkhasiat lagi jika dicampurkan dengan halia iaitu dengan memasukkan kira-kira tiga sentimeter halia yang dicampurkan dengan madu, kemudian taburkan ke atas mangkuk berisi granola berkenaan.

    Oleh yang demikian, dengan adanya kebaikan yang terdapat pada halia adalah sesuatu yang kita patut amalkan setiap hari. Kenapa kita harus memilih suplemen jika kita sudah ada yang ramuan ubat semula jadi, bukan? Selamat mencuba!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda