Oleh Nurdiyanah R.
Semenjak masyarakat dunia berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19 tidak terkecuali negara kita, bekerja dari rumah (WFH) dan pembelajaran jarak jauh merupakan perkara yang tidak asing lagi bagi seluruh lapisan masyarakat di mana pun berada.
Demi meneruskan amanah pekerjaan dan pembelajaran, langkah-langkah sedemikian turut diaplikasikan oleh majoriti rakyat dan penduduk tanah air kita sejak tercetusnya gelombang pertama COVID-19 di negara kita dan kini kian dimantapkan lagi setelah gelombang kedua menggoncang tanah air kembali, dalam sama-sama mengurangkan penularan jangkitan virus sekaligus memainkan peranan sosial untuk bersama melindung.
Pandemik memperkasa transformasi
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Unified National Networks (UNN), baru-baru ini mengimbas kembali pada tahun 2019, hanya lima puluh peratus dari semua isi rumah yang mempunyai rangkaian jalur lebar di kediaman masing-masing.
Dengan transformasi industri telekomunikasi berkenaan, banyak inisiatif telah dilancarkan untuk memperluas fiber network dan menjadikan perkhidmatan jalur lebar lebih terjangkau sehingga dapat dinikmati oleh penduduk di negara ini terutamanya bagi mewujudkan keselesaan kepada para ibu bapa, guru dan pelajar ketika menjalankan tugasan di rumah persendirian.
Raih manfaat jalur lebar sebaiknya
Setakat bulan September ini, tiga dari empat isi rumah mempunyai sambungan jalur lebar di kediaman mereka dengan majoriti memilih kelajuan 50 atau 100 Mbit. Melalui sambungan jalur lebar rumah berkenaan, mereka dapat mengakses internet sama ada melalui telefon pintar, tablet atau pun menggunakan komputer riba.

Pelbagai manfaat semestinya telah dicapai menerusi perkhidmatan jalur lebar berkenaan, antaranya pelajar dapat menghadiri kelas maya mereka; ibu bapa boleh melaksanakan WFH dan menghubungi rakan sekerja melalui persidangan audio dan video; dan ahli keluarga dapat berhubung melalui pelbagai aplikasi menarik sekali gus menikmati hiburan digital semasa menikmati saat-saat ‘teranah di rumah’.
Dalam pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan lagi, peningkatan pengguna menerusi rangkaian jalur lebar semakin meningkat dari semasa ke semasa sehingga berlakunya masalah kesesakan dalam talian sejak 7 Ogos lalu. Hal ini kebiasaannya berlaku pada waktu siang dan malam.
Tambahan lagi, didapati bagi anggaran setiap isi rumah yang dihuni oleh lima hingga sepuluh orang ahli keluarga secara umumnya memiliki pelbagai peranti iaitu selain telefon pintar, antaranya tablet dan komputer peribadi, peralatan permainan video, televisyen pintar, TV Box mahu pun IP Cams, semuanya rata-rata digunakan dengan membuat sambungan ke Wi-Fi jalur lebar pada masa yang sama.
Dengan kata lain, persaingan dalam penggunaan jalur lebar pada sama yang masa tersebut telah mengakibatkan berlakunya slow internet sehingga mempengaruhi kualiti video ketika persidangan tidak stabil atau pun menjadikan kadar resolusi video penstriman yang ditonton berada pada tahap yang lebih rendah.
Perlunya pemantauan ibu bapa
Sehubungan dengan itu, bagi sama-sama mengelakkan gangguan kesesakan dari segi penggunaan jalur lebar di negara ini sekali gus untuk kepentingan tugasan harian, pihak ibu bapa atau penjaga disarankan untuk sentiasa memantau dan memeriksa tahap penggunaan jalur lebar yang digunakan sepanjang hari iaitu dengan memastikan ia hanya disambung untuk keperluan-keperluan yang lebih utama sahaja pada satu masa.
Hal ini begitu penting diamalkan oleh setiap pengguna agar kita dapat menjalankan segala tugasan pekerjaan dengan cekap dan anak-anak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian dengan lancar dari semasa ke semasa.
Di samping itu, pengguna juga disarankan mengetahui kawasan atau tempat yang memiliki kekuatan isyarat di kediaman masing-masing kerana kebanyakan peranti disambungkan ke jalur lebar melalui Wi-Fi, mereka bergantung pada kualiti isyarat Wi-Fi untuk menghantar dan menerima data.
Perlu diketahui juga tidak semua kawasan di rumah akan mempunyai liputan Wi-Fi atau kualiti isyarat yang sama kerana berkemungkinan adanya banyak dinding, struktur konkrit dan komponen logam di kawasan berkenaan sehingga boleh menyebabkan kemerosotan isyarat Wi-Fi.
Bagi peranti penting seperti notebook, sambungan kabel ke Wi-Fi router sememangnya dapat membantu kerana terdapat empat port yang tersedia. Dalam hal ini, begitu mustahak bagi kita meningkatkan Wi-Fi coverage di rumah masing-masing menerusi perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi-agensi telekomunikasi tempatan terdiri daripada DST, Progresif dan imagine, selaku penyelia-penyedia perkhidmatan yang sekali gus membantu menawarkan sistem Mesh-Wi-Fi bagi meningkatkan kualiti Wi-Fi secara dramatik dalam struktur rumah serta merapatkan jarak yang panjang antara jalur lebar router dan lokasi-lokasi yang pengguna mahukan di kediaman masing-masing bagi kepentingan tertentu.
Inisiatif kerjasama menyokong E-Pembelajaran
Ke arah meningkatkan WFH dan pengalaman belajar dalam masa yang mencabar ini, platform digital yang boleh dipercayai merupakan aspek penting yang perlu ditititkberatkan dari semasa ke semasa terutamanya untuk menyokong golongan pendidik untuk berinteraksi dengan para pelajar dengan lebih baik.
Oleh itu, melalui memorandum persefahaman antara Kementerian Pendidikan dan Microsoft yang telah termeterai sebelumnya di mana pelajar dan guru diberikan akaun Microsoft 365 (M365) secara percuma. Ini bertujuan bagi menawarkan dan meluaskan pengalaman pengajaran dan pembelajaran di luar kelas dengan pelbagai gaya baharu dan menarik.
Kemudahan akaun M365 ini juga meliputi penyediaan aplikasi dalam talian secara percuma seperti Microsoft Word, Microsoft PowerPoint, Microsoft Excel dan Microsoft Teams sekali gus membolehkan mereka bekerjasama dan berkomunikasi dengan lancar.
Selain itu, Kementerian Pendidikan dengan sokongan padu MTIC dan AITI telah melancarkan Kempen Sumbangan Peranti (Device Donation Campaign) sebagai sebahagian daripada pendekatan Whole of Nation bersama. Dengan kempen berkenaan, ia bermatlamat untuk mengumpulkan sumbangan dari segi peranti IT seperti tablet dan komputer riba untuk membantu golongan pelajar yang memerlukan dalam menyokong pembelajaran dalam talian.
Sehubungan dengan itu, kempen sumbangan yang masih dibukakan kepada orang ramai sehingga 30 September ini iaitu pada hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu, bermula dari jam 8:30 pagi hingga 11:30 pagi.
Kempen yang dilaksanakan di dua buah lokasi terpilih iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara berpusat di Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Jalan 10, Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan; dan juga di Daerah Tutong, bertempat di Pusat Tingkatan Enam Tutong, Kampung Bukit Beruang.
Kempen sumbangan data
Selain itu, inisiatif lain turut dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan bersama Progresif iaitu Kempen Sumbangan Data (Donate Data Campaign).
Menyentuh mengenai kempen sumbangan data berkenaan, salah seorang ibu pelajar di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES), Dayang Zarifah binti Haji Mokhtar begitu menghargai inisiatif berkenaan kerana ia suatu platform yang amat membantu para pelajar mengakses internet, lebih-lebih lagi untuk meluarkan lagi pengetahuan mereka dan inisiatif ini juga secara tidak langsung sebagai usaha yang begitu dibanggakan demi untuk menggalakkan masyarakat khususnya para pelajar tiada yang akan ketinggalan kebelakang dalam penggunaan akses internet di negara ini.
Sementara itu, Dayang Adrina binti Haji Mohd Agus Din, guru besar dari Sekolah Menengah Rimba II turut berkongsi bahawa beliau percaya inisiatif kempen berkenaan membuka banyak pintu kemudahan yang lebih baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran antara guru dan pelajar.
“Kini para pelajar sudah dilengkapi untuk meneroka pembelajaran secara meluas. Bahkan guru-guru juga turut memiliki semangat untuk lebih mengentengahkan pelbagai kaedah pengajaran mereka penuh kreatif dan menarik serta menyeronokkan bagi anak-anak didik mereka,” ujarnya lagi.
Pelbagai kempen terlaksana
Di samping itu, Kempen Matlamat Pendidikan (Goals for Education Campaign) juga merupakan salah satu inisiatif yang diketengahkan dalam menyokong sistem pendidikan negara. Kempen antara Kementerian Pendidikan bersama Dynamik Technologies Sdn Bhd dan Progresif.
Selain itu, sumbangan juga datang melalui imagine Sdn Bhd dan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) sebagai sebahagian daripada mereka program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Melalui kempen sumbangan dan program CSR, golongan pelajar yang memerlukan bukan hanya menerima bantuan dari segi kad sim dan tablet dari agensi awam dan syarikat swasta tetapi juga sumbangan dari orang ramai.
Dalam pada itu, jelas membuktikan dalam kita berdepan dengan krisis kesihatan ini, pihak Kementerian Pendidikan bersama agensi-agensi yang berkepentingan turut bersatu menempuhi cabaran bagi merealisasikan matlamat negara sedaya upaya, salah satunya dalam memastikan kelangsungan sistem pendidikan berjalan dengan lancar.
Oleh itu, orang ramai dan agensi yang berminat untuk menyumbangkan peranti IT melalui Kempen Sumbangan Peranti boleh menghubungi +6737163184 atau +6738198404 pada waktu pejabat atau melalui e-mel ke info.dcce@moe.gov.bn.