Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Penyelidik dan saintis serta rakan kongsi industri dan kerajaan diseru untuk memanfaatkan kelebihan dan sumber satu sama lain untuk bekerjasama dalam menyokong kemajuan bidang teknologi dan sains masing-masing.
Pada masa yang sama, usaha itu diharap dapat diterjemahkan kepada penyelesaian dunia sebenar yang praktikal dan nyata yang boleh memperbaiki kehidupan serta menyokong pembangunan mampan.
Usaha-usaha kolaboratif berkenaan diharap akan terus berkembang untuk meliputi semua bidang berkepentingan bersama, sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) semasa Majlis Perasmian UTB-STE Connect 2023 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota terdahulu dalam sabdanya menyatakan 15 tahun sejak penubuhannya sebagai sebuah universiti penuh, UTB telah mencapai beberapa mercu tanda signifikan termasuk mengembangkan disiplin Kejuruteraan, Perniagaan dan Pengkomputeran pada 2008 hingga kini merangkumi Sains Gunaan dan Matematik, Rekaan dan Komunikasi.
UTB terus matang dengan menyediakan laluan ke arah ranking Times Higher Education World University Rankings.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota bersabda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda semasa Majlis Konvokesyen UTB ke-11, menggalakkan mengguna pakai amalan-amalan terbaik termasuk meningkatkan penerbitan penyelidikan.
Baginda Sultan juga menggariskan pentingnya untuk memfailkan hak harta intelek ke arah pengkomersilan yang boleh menyokong dan memupuk sebuah ekosistem inovasi serta pertumbuhan ekonomi, sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.
Sebagai sebuah universiti teknologi dan kejuruteraan, UTB, sabda Duli Yang Teramat Mulia, juga mempunyai peranan untuk dimainkan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDGs).
Dalam hubungan itu, Duli Yang Teramat Mulia menzahirkan perasaan gembira UTB telah mengorak langkah dalam memajukan penyelidikan dan mempromosikan inovasi menerusi kolaborasi dengan universiti-universiti terkenal dan pemain-pemain industri utama.
Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota juga merupakan satu lagi inisiatif untuk melengkapkan ekosistem inovasi bagi menggalakkan komuniti penyelidikan STEM yang lebih luas.
UTB diharap akan terus membina pencapaian dan usahanya khususnya dalam menyokong bidang-bidang keutamaan kebangsaan termasuk keperluan pasaran buruh tempatan.
Dalam hubungan itu, UTB-STE Connect 2023 menyediakan sebuah platform penting bagi percambahan intelektual, berkongsi idea dan membincangkan penyelesaian yang berpotensi kepada cabaran-cabaran kontemporari zaman kita.
Keluasan dan kerumitan cabaran-cabaran itu, sabda Duli Yang Teramat Mulia, memerlukan pendekatan komprehensif dan pelbagai disiplin di mana kemajuan pantas dalam teknologi dan inovasi terus menyediakan peluang-peluang yang unik.
“Oleh itu, saya mendapati tema, Penyelidikan dan Aplikasi bagi Sebuah Dunia Yang Lebih Baik, adalah berkaitan dan tepat pada masanya.”