Dalam mengekalkan kesihatan tubuh badan dalam kehidupan seharian, kita disyorkan untuk mengambil pemakanan yang sihat dan teratur. Dalam masa yang sama, untuk mengekalkan kesihatan ini juga boleh diperolehi melalui memakan ubat-ubatan seperti vitamin, mineral dan serat.
Walau bagaimanapun, terdapat cara lain yang lebih alami dan selamat untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan ini iaitu melalui memakan ulam-ulaman. Ulam merupakan tumbuh-tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, distim atau direbus dan dihidangkan bersama hidangan nasi dan lauk-pauk yang lain. Ini termasuklah bahagian pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi atau bunga tanaman.
Lebih daripada 120 ulam-ulaman tradisional terdapat di Malaysia sama ada ulam-ulaman kecil yang tumbuh melata seperti pegaga, pokok-pokok renek dan sehinggalah pokok-pokok besar seperti petai dan jering. Ulam dikenali sebagai hidangan bagi kalangan masyarakat Melayu yang dikatakan mengandungi khasiat yang mampu memberikan manfaat kepada mereka yang mengamalkannya. Justeru kenapa ulam itu mampu memberikan manfaat?
Oleh kerana ulam dimakan secara langsung tanpa dimasak lama terlebih dahulu, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama di dalam ulam tidak termusnah oleh haba. Sebagai contoh, daun kaduk mempunyai kalsium, fosforus, dan besi yang paling tinggi dibandingkan de-ngan ulam-ulam lain.
Ulam juga memainkan peranan penting dalam perubatan Melayu dan kini pakar pengkaji perubatan barat juga turut mengakui khasiat ulam sebagai tambahan yang baik untuk badan. Seperti pegaga kini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjanakan kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak selain dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.
Untuk mendapatkan ulam pada ketika ini memadai dengan secara membeli, namun ulam biasanya hanya ditanam secara kecil-kecilan di sekitar rumah untuk dimakan sendiri atau dipetik daripada yang tumbuh meliar. Ulam yang ditanam untuk kegunaan sendirian biasanya terdiri dari jenis semusim dan mudah ditanam seperti ulam raja dan selom. Ulam yang berasal daripada pokok biasanya dikutip dari tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dalam keadaan liar seperti hutan.
Sayur-sayuran biasa seperti timun, kubis dan terang juga boleh dianggap ulam apabila dimakan sebegitu sahaja. Memakan ulam boleh dianggap sama seperti memakan salad dalam diet bagi masyarakat Barat. Budaya memakan ulam-ulaman ini merupakan budaya yang dikongsi di negara-negara Asia Tenggara dan bukanlah terhad kepada masyarakat Melayu sahaja. Malah di Vietnam, ulam tempatan setempat dikenali sebagai rau thorn manakala di Kemboja sebagai chi.
Justeru, disebabkan ulam mengandungi kandungan yang bebas dari sisa toksid yang tercemar telah memberikannya kelebihan tersendiri yang mampu memberikan 1001 faedah orang yang mengamalkannya. – Agensi
