Tuesday, July 22, 2025
31.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaat pelaburan jangka panjang

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – BIBD Securities Sdn Bhd (BIBDS) kini sedang mengadakan acara pelanggan sempena pelancaran dana Franklin Templeton dengan acara pertama telah diadakan di The Empire Brunei, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), pada acara itu, perwakilan daripada BIBDS dan Franklin Templeton telah menyampaikan beberapa sesi penerangan kepada para tetamu.

    Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah berserta isteri, Pengiran Seti Aminah binti Pengiran Othman.

    Pengarah Urusan BIBDS, Haji Muhammad Yazid bin Dato Paduka Haji Mahadi dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, acara berkenaan bertujuan untuk memperkenalkan dana yang dilancarkan baru-baru ini kepada pelanggan sedia ada dan potensi pelabur BIBDS dan membantu memberi kesedaran yang lebih meluas mengenai manfaat pelaburan jangka panjang.

    Beliau mengongsikan bahawa mereka mempunyai matlamat untuk menawarkan para pelanggan akses kepada perkhidmatan perancangan kewangan Islam bagi mengenal pasti keperluan individu dan bagaimana keperluan tersebut dapat dipenuhi melalui rangkaian tawaran pelaburan patuh syariah mereka hingga pelanggan dapat lebih bersiap sedia untuk masa depan mereka.

    YAM Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah berserta isteri, Pengiran Seti Aminah binti Pengiran Othman ketika menghadiri acara pelanggan anjuran BIBD Securities Sdn Bhd (BIBDS) sempena pelancaran dana Franklin Templeton yang diadakan di The Empire Brunei, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Haji Muhammad Yazid semasa memberikan penjelasan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan pada majlis tersebut.
    Antara pelanggan yang menghadiri sesi penerangan anjuran BIBDS.

    Bercakap mengenai landskap makroekonomi pada masa kini, beliau berkata bahawa ia memberikan alasan yang kuat bagi orang ramai untuk bergerak di luar dari simpanan memandangkan kadar sangat rendah dijangka kekal untuk jangka masa yang panjang, bermakna kadar akan terus berada di bawah tekanan di tengah kenaikan harga, oleh itu kelas aset pelaburan seperti ekuiti atau sukuk dapat membantu memberikan peningkatan pulangan dalam jangka masa panjang.

    Turut menyampaikan pembentangan mengenai pengenalan perancangan kewangan Islam ialah Pengurus Perhubungan di BIBDS, Abegail Lo.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Sukuk Global dan Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) di Franklin Templeton Investments, Mohieddine (Dino) Kronfol pula mengongsikan pandangan pasaran dan pengenalan pada Franklin Global Sukuk Fund.

    Dua produk pelaburan baharu berkenaan telah dilancarkan pada September lalu dan sesuai untuk bakal pelabur yang mencari pendapatan stabil dan konsisten serta pulangan jangka panjang.

    Sehubungan dengan pelancaran dana tersebut, bermula pertengahan September hingga hujung Disember depan, pelanggan yang mendaftar untuk Pelan Pelaburan Bulanan Satu Tahun (serendah $100 setiap bulan) atau pelaburan sekali gus akan menerima hadiah menarik. Selain daripada dua Dana Bersama (Mutual Funds) yang baru dilancarkan, BIBDS juga kini menawarkan empat dana bersama yang dikendalikan oleh NCB Capital iaitu Al-Ahli Asia Pacific Index Fund, Europe Index Fund, Healthcare Trading Equity Fund dan North America Index Fund.

    Kenyataan memaklumkan bahawa acara akan diteruskan dan berakhir esok, di Hotel V-Plaza, Kuala Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda