Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaat pendigitalan ke arah pemulihan ekonomi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, selaku pengerusi ASEAN (Finance Track) bagi 2021, menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor Bank-bank Pusat G20 pertama secara maya yang diadakan pada 26 Februari lalu.

    Turut hadir di mesyuarat berkenaan ialah Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Hajah Rokiah binti Haji Badar, selaku pengerusi ASEAN (Central Bank Track) bagi 2021, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Juga hadir pada mesyuarat itu sebagai sebahagian daripada delegasi Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Prestasi dan Korporat), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Suraya binti Haji Jaidin dan Timbalan Pengarah Urusan AMBD, Hajah Noorrafidah binti Sulaiman.

    Kenyataan menyatakan mesyuarat maya itu dihadiri oleh menteri-menteri kewangan dan gabenor bank-bank pusat daripada 20 ekonomi terbesar di dunia, ketua-ketua institusi kewangan antarabangsa serta negara-negara tetamu, di mana mesyuarat membincangkan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan keadaan ekonomi global terkini, tindakan-tindakan dasar bagi pemulihan saksama transformatif, isu-isu sektor kewangan, kemasukan kewangan dan kewangan yang mapan.

    Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Ekonomi dan Kewangan Itali, Tuan Yang Terutama Daniele Franco dan Gabenor Bank of Italy, Ignazio Visco.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam kenyataannya, antara lain mengalu-alukan agenda keutamaan Itali yang melengkapi keutamaan ASEAN pada 2021.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsi tema dan keutamaan ASEAN bagi 2021 termasuk tiga teras strategik iaitu pemulihan, pendigitalan dan kemapanan di bawah laluan ekonomi dan kewangan.

    Beliau juga menerangkan mengenai dengan usaha holistik dan bersepadu ASEAN yang dibimbing oleh Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN.

    Di samping itu, beliau turut menyeru untuk memastikan pendirian dasar fleksibel yang menyokong pemulihan serta memastikan ekosistem kewangan dan berdaya tahan dan stabil serta mengalu-alukan penekanan kepada memanfaatkan pendigitalan sebagai peralatan ke arah pemulihan.

    Yang Berhormat Dato turut menekankan pentingnya dalam menyediakan akses yang saksama, kemampuan, keselamatan dan kualiti vaksin COVID-19 sebagai barangan awam global yang amat penting dalam usaha menentang pandemik dan menyokong pemulihan.

    Beliau amat menghargai penubuhan Panel Bebas Peringkat Tinggi G20 bagi pembiayaan Global Commons untuk Kesiapsiagaan dan Respons Pandemik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda