Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaat sumber tumbuhan hasilkan kraf

    KOTA TINGGI – Seorang usahawan wanita memanfaatkan sumber tumbuhan seperti daun dan bunga untuk menghasilkan motif pada permukaan fabrik, sekali gus diolah menjadi produk kraf dengan menggunakan teknik cetakan kreatif (eco print).

    Norida Dahlan, 61, berkata pelbagai produk menerusi jenama Norli Creation yang berasaskan fabrik seperti beg tangan, beg tote, kardigan, kemeja T, blaus dan topi telah dihasilkannya sejak 2018.

    Beliau berkata teknik eco print dilakukan menerusi kaedah kukusan daun atau bunga dengan fabrik dalam tempoh dua jam.

    “Daun atau bunga akan diletakkan di atas fabrik dan dibungkus dengan ketat untuk dikukus, wap air dari daun atau bunga yang dikukus itu akan turun dan meninggalkan kesan getah seterusnya membentuk motif.

    “Bukan semua bunga atau daun yang akan meninggalkan kesan motif, jadi untuk bunga saya menggunakan Bunga Raya, Bunga Matahari, Bunga Kekwa dan Bunga Ulam Raja.

    Norida Dahlan memperkenalkan koleksi baju dan selendang batik alami kepada pengunjung sempena Pemukiman AEM yang berlangsung di Desaru Coast Conference Centre. – Bernama

    Manakala, bagi jenis daun pula antaranya daun pokok Jati, Jarak, Mata Kucing, Rambutan dan paku-pakis,” katanya.

    Norida berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di Permukiman Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Pusat Konvensyen Desaru Coast, dekat sini, baru-baru ini.

    Beliau berkata warna fabrik pula adalah menggunakan pewarna semula jadi yang terhasil daripada air rebusan daun dan bunga, antaranya daun ketapang yang mampu menghasilkan beberapa warna semula jadi, seperti hijau, kuning dan kelabu Norida merupakan antara usahawan di bawah Kraftangan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) yang mengambil bahagian mempamerkan produk di reruai Permukiman AEM.

    Beliau berkata minatnya dalam menjahit mendorongnya untuk menceburi perniagaan itu selain aktif mengikuti kursus-kursus bagi mendapatkan sijil kemahiran sekali gus memantapkan kemahiran yang dimilikinya itu.

    “Saya sebelum ini juga menjalani kursus teknik tie dye atau ikat dan celup pada fabrik di Pusat Tenun Pahang Diraja selama tiga hari.

    “…daripada itu, saya menggabungkan pengetahuan yang diperoleh daripada belajar tie dye dengan teknik eco print, maka terhasil produk-produk ini,” katanya.

    Kesemua produknya dipasarkan di Facebook, MYCraftshoppe dan reruai program-program atau acara yang disertai, termasuk ASEAN Tourism Forum (ATF) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor baru-baru ini.

    Beliau turut berharap agar acara berprestij seperti Permukiman AEM akan menjadi permulaan buat syarikatnya yang beroperasi di Bandar Penawar, dekat sini, berkembang dan maju.

    “Saya mahu orang luar melihat bahawa ada artisan di kawasan luar bandar yang mampu menghasilkan produk unik dan mempunyai identiti seperti ini,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda