Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Dengan membawa tema, Inovasi Pemuliharaan: Memulihkan dan Melindungi Biodiversiti, enam orang pembentang mengongsi pandangan dan pendekatan mereka yang berbeza dalam menangani cabaran-cabaran biodiversiti.
Para pembentang mengongsi mengenai kaedah inovatif, penekanan pada teknologi, inisiatif berasaskan komuniti dan kerjasama sebagai pendekatan kepada memulihara dan melindungi biodiversiti semasa sesi tematik 2 pada Persidangan Biodiversiti Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
Antara pembentang semasa sesi berkenaan ialah Dr Haya Lee yang mengetengahkan mengenai peranan penting pemulihan hutan, Dr Mark Hughes mempamerkan mengenai usaha-usaha pemulihan RBGE, Profesor Sang-Ho Yun membincangkan mengenai pentingnya sensor hyperspectral dan Todd Ryan Barber meneroka mengenai pelbagai peranan yang dimainkan oleh tukun tiruan dalam usaha pemuliharaan marin.
Sebagai kesimpulan dalam sesi pembentangan tematik itu, para pembentang menekankan pentingnya untuk memanfaatkan teknologi seperti LiDAR, pengimejan satelit dan sensor hyperspectral bagi pemantauan ekosistem dan memahami biodiversiti.
Di samping itu, inisiatif berasaskan komuniti dan kolaborasi antarabangsa juga dikenal pasti sebagai komponen penting dalam usaha pemuliharaan biodiversiti.
Para pembentang juga menekankan keperluan bagi penyelesaian inovatif untuk menentang kehilangan biodiversiti, menangani cabaran-cabaran seperti degradasi habitat dan penebangan hutan.
Mereka juga menekankan pentingnya rangka kerja pengawalseliaan yang mantap dan perancangan strategik untuk menangani secara efektif cabaran-cabaran serta memulihkan ekosistem untuk generasi masa depan.
Secara keseluruhannya, sesi itu menyediakan pandangan yang amat berharga kepada pelbagai pendekatan yang diperlukan untuk melindungi biodiversiti dan mempromosikan pemuliharaan alam sekitar pada skala global.





