Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Nilai asas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti kemahiran tangan, kepakaran teknikal dan pengalaman praktikal tetap kekal relevan dan mustahak walaupun dunia kini bergerak pantas dalam arus Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).
Dunia kini berada di ambang revolusi teknologi yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang telah mengubah landskap pekerjaan global dengan begitu cepat.
Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam ucapan sempena Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) kali ke-33, yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
“Dalam keghairahan kita mengejar kemajuan teknologi, AI mungkin dapat meniru data, namun ia tidak dapat meniru sentuhan manusia, kreativiti dan naluri menyelesaikan masalah dunia sebenar.
“Inilah kekuatan sebenar TVET, yang telah melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berkemahiran tinggi, inovatif dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan,” ujar Yang Berhormat Dato.


Beliau percaya IBTE telah menyediakan asas kukuh kepada graduan untuk menjadi peneraju dalam era IR 4.0 yang menuntut inovasi serta kreativiti sebagai teras utama.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan IBTE yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing.
“Majlis konvokesyen bukan sekadar simbol kejayaan akademik, tetapi juga lambang kecekalan, kreativiti dan komitmen untuk terus melangkah ke hadapan,” jelas beliau.
“Kejayaan graduan yang diraikan hari ini adalah pantulan daripada usaha gigih, doa yang tidak putus, dan kasih sayang yang tulus daripada awda semua,” tambah beliau.
Yang Berhormat Dato seterusnya menekankan kepentingan mengintegrasikan teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan, dalam sistem TVET bagi memastikan para graduan kekal relevan serta berdaya saing di pasaran kerja masa hadapan.
Namun, beliau menegaskan bahawa penggunaan teknologi tidak seharusnya menggantikan pe-ngalaman pembelajaran tradisional, sebaliknya perlu memperkukuh pengalaman sedia ada.
“Gunakan AI sebagai alat bantu untuk menganalisis, mereka bentuk dan mempercepatkan pembelajaran, tetapi jangan sesekali meninggalkan latihan praktikal, pembelajaran berasaskan pengalaman dan nilai etika kerja,” tegas beliau.
Katanya lagi, pelajar masih memerlukan pembelajaran yang bersifat sosial, interaktif dan kreatif, kerana melalui bengkel, makmal dan projek sebenar inilah lahir kemahiran sejati yang membentuk insan berfikir, berinovasi dan berintegriti.
Dalam menyentuh aspek kelestarian, Yang Berhormat Dato menekankan pendidikan TVET perlu turut memberi penekanan terhadap nilai kelestarian dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Kemahiran hari ini bukan hanya untuk membina masa depan yang produktif, tetapi juga masa depan yang lestari, yang memelihara alam sekitar, mengoptimumkan sumber dan menyokong pembangunan mampan,” jelas beliau.
Beliau menyeru IBTE agar terus memperkasa program latihan yang menggalakkan pelajar mengamalkan nilai kelestarian melalui pendekatan inovatif, termasuk bidang tenaga boleh diperbaharui dan kejuruteraan hijau.
“Semoga IBTE dapat melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, dan generasi berjiwa lestari dan mampu menjadi pemimpin dalam memacu pembangunan mampan negara,” ujarnya.
Sebagai penutup, Yang Berhormat Dato menyeru para graduan agar menjadikan pembelajaran sebagai perjalanan berterusan sepanjang hayat serta sentiasa memiliki keinginan untuk terus berkembang.
“Kemahiran teknikal mungkin membuka pintu kepada peluang, namun nilai-nilai murni, kemampuan menghadapi cabaran, menyesuaikan diri dengan perubahan dan memiliki growth mindset akan memastikan pintu itu kekal terbuka,” pesan beliau.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para penerima anugerah khas tahun ini, sambil menyatakan harapan agar pencapaian mereka menjadi sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus cemerlang serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
“Awda adalah aset kepada negara. Jadilah pencetus perubahan yang membawa manfaat dan mencipta impak positif kepada masyarakat dan negara,” tambah beliau sebelum mengakhiri ucapan dengan doa agar kejayaan graduan menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang lebih gemilang.

