Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Kerajaan menyedari bahawa untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan adaptif, ia memerlukan perkongsian awam-swasta (PPP) yang kukuh di mana sektor swasta bukan sekadar enjin pertumbuhan tetapi merupakan rakan kongsi dalam transformasi negara.
Dengan bekerjasama rapat dengan perniagaan, institusi kewangan dan inovator, kerajaan berhasrat untuk memupuk persekitaran di mana idea, pelaburan dan pekerjaan boleh berkembang.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Momentum Baiduri yang berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, hari ini.
Dalam hubungan itu, ulasnya, institusi seperti Bank Baiduri memainkan peranan penting, bukan sahaja sebagai perantara modal tetapi juga sebagai rakan kongsi dalam inovasi.
Melalui inisiatif yang menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pendigitalan dan pembiayaan hijau, sektor kewangan membantu merapatkan jurang antara dasar dan pelaksanaan, membolehkan perusahaan menyesuaikan diri, berskala dan berkembang maju.

Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan dalam membina atas semangat kolaborasi dan inovasi, kecerdasan buatan (AI) menonjol sebagai salah satu pemacu pertumbuhan global yang paling transformatif.
Oleh itu, perniagaan digalakkan untuk memanfaatkan AI untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi sambil mengguna pakainya secara bertanggungjawab untuk melindungi keselamatan dan kepercayaan.
Melalui kerjasama awam-swasta yang kukuh, AI boleh menjadi alat yang ampuh untuk meningkatkan kecekapan, daya saing dan pertumbuhan mampan merentasi ekonomi kita.
Di peringkat serantau, Yang Berhormat Dato berkata, kekuatan ASEAN terletak dalam perpaduan dan pragmatisme dengan Negara Brunei Darussalam terus menyokong rangka kerja seperti ASEAN+3 dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), untuk memastikan rantau kita kekal sebagai juara perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan serta kerjasama kewangan.
Melangkah ke hadapan, Negara Brunei Darussalam akan terus memperkukuhkan institusinya, melabur dalam rakyatnya serta memupuk kerjasama awam-swasta yang membuka potensi teknologi dan inovasi.
Beliau menegaskan, “Dengan berbuat demikian, kita kekal berdaya tahan, terhubung dan bersedia untuk peluang yang akan datang.”

