Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaatkan alam semula jadi tangani risiko banjir

    LEICESTER, UNITED KINGDOM – Di sebatang sungai berhampiran Leicester di tengah England, enam sukarelawan dalam pakaian dan but kalis air sibuk mengukuhkan struktur kayu mini yang direka untuk menangani ancaman banjir yang semakin meningkat.

    Bandar itu, seperti kebanyakan bandar lain di United Kingdom (UK), telah mengalami beberapa kejadian hujan lebat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang telah menyebabkan kerosakan yang ketara.

    Menyedari sepenuhnya tentang perubahan iklim, yang memperhebatkan peristiwa berkenaan, pihak berkuasa sedang mengukuhkan pertahanan mereka dan beralih kepada penyelesaian yang lebih peka dengan alam sekitar.

    Dengan kaki mereka bertapak kukuh di dasar Sungai Saffron, anak sungai Sungai Soar yang mengalir melalui Leicester, para sukarelawan memastikan berkas kayu struktur itu ditambat dengan kukuh.

    Struktur itu mencipta selekoh yang ‘mengubah tingkah laku sungai’ dan memperlahankan air di kawasan di mana ia mengalir ‘lurus dan sangat laju,’ kata Dan Scott, yang mengetuai program di Trent Rivers Trust, sebuah kumpulan tempatan yang berusaha melindungi sungai.

    Seorang anggota sukarelawan membawa bahan untuk digunakan dalam membina struktur pengurusan banjir semula jadi di Saffron Brook di Leicester. – AFP
    Anggota sukarelawan membina struktur pengurusan banjir semula jadi di Saffron Brook di Leicester. – AFP
    Struktur pengurusan banjir semula jadi kelihatan di Saffron Brook. – AFP
    Pejalan kaki melihat tambak bocor yang membentuk sebahagian daripada skim pengurusan banjir semula jadi di Beacon Hill. – AFP
    Gambar AFP
    Pemandangan udara sukarelawan membina struktur semula jadi banjir di Saffron Brook. – AFP
    Dr Dan Scott, melihat tanah lembap yang baru terbentuk yang membentuk sebahagian daripada skim pengurusan banjir semula ladi di Beacon Hill, dekat Loughborough, tengah London. – AFP
    Bahan semula jadi terletak di kawasan cetek yang membentuk sebahagian daripada skim pengurusan banjir semula jadi di Beacon Hill. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Beliau sentiasa menyelia pemasangan kemudahan baharu.

    Beberapa bulan lalu, Trent Rivers Trust menggali kolam di sebatang sungai berhampiran bandar Loughborough dan memasang berpuluh-puluh pengadang kayu yang bocor untuk melindungi rumah di kawasan hiliran yang banjir pada masa lalu dengan lebih baik.

    Teknik tersebut merupakan ‘pelengkap kepada pertahanan banjir tradisional’ seperti lembangan penahan dan terusan yang semakin tertekan dan dibebani, kata Scott.

    Mereka ‘membantu menyimpan sebahagian daripada air itu di bahagian hulu supaya pertahanan banjir tradisional itu tidak ditenggelami, dan walaupun jika ia berlaku, ia tidak secepat seolah-olah ciri-ciri ini tidak ada,” tambahnya.

    Mereka juga membantu mengekalkan biodiversiti.

    ‘MASALAH TERDESAK’

    Lebih 6.3 juta hartanah berisiko banjir di UK, dan angka itu akan meningkat kepada lebih lapan juta menjelang 2050, menurut laporan kerajaan baru-baru ini.

    “Banjir adalah masalah masyarakat yang sangat mendesak,” kata Steven Forest, pengarah Program Pengurusan Risiko Banjir di Universiti Hull.

    Peristiwa iklim mengakibatkan pembayaran insurans UK berjumlah lebih daripada £400 juta (AS$532 juta) pada 2022 dan lebih daripada £570 juta pada 2023 dan 2024, separuh daripadanya berkaitan dengan banjir, menurut Persatuan Syarikat Insurans British.

    Di samping pertahanan tradisional, ‘kita perlu memikirkan tentang hidup dengan air dan kita perlu memikirkan tentang menyepadukan air dalam ruang bandar kita,” tambah Forest.

    Beliau memetik Belanda, yang memperuntukkan ruang untuk sungai mengalir semasa hujan lebat dan Amerika Syarikat, di mana ‘zon penampan’ tumbuh-tumbuhan dicipta selepas Taufan Sandy pada 2012.

    Laluan air ‘konvensional’ dengan pelbagai infrastruktur tidak lagi mencukupi, kata Forest, terutamanya memandangkan tujuh peratus daripada struktur sedemikian dinilai berada dalam keadaan ‘buruk’ atau ‘sangat daif’ oleh Agensi Alam Sekitar UK pada 2022.

    MENGATASI KERAGUAN

    Namun usaha meyakinkan penduduk dan pihak berkuasa bukanlah tugas yang mudah kerana ia sering perlu penjelasan bahawa ‘hanya disebabkan kami belum membina penyelesaian konkrit, ia tidak akan berkesan,’ kata Scott.

    “Ia juga mengenai mendidik semula orang dalam kerajaan kerana lebih mudah bagi mereka untuk menjual sesuatu (kepada pengundi) yang fizikal dan lebih menonjol dalam landskap,” tambahnya.

    Perkembangan kaedah tradisional menarik bahagian terbesar peruntukan daripada £2.6 bilion yang diumumkan oleh kerajaan pada Mac untuk membiayai sistem pertahanan banjir baharu dalam tempoh dua tahun akan datang.

    Tetapi Scott mendapati terdapatnya minat yang lebih besar dalam pengurusan banjir semula jadi sejak lima tahun lalu, dengan kerajaan terdahulu melancarkan program bernilai £25 juta tahun lepas.

    Hasilnya, Leicester akan membangunkan beberapa laluan air di tenggara bandar dan 35 projek lain telah dipilih di England.

    “Adalah menggalakkan melihat pendekatan kami yang berjaya terhadap langkah pengurusan banjir semula jadi terus menerima sokongan,” beritahu Geoff Whittle, ahli majlis tempatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, kepada AFP.

    Memikirkan hasil kerjanya di Saffron, sukarelawan Lis Gibbs yang berusia 50 tahun memberitahu AFP bahawa ‘rasanya awda boleh membuat perubahan,’ berbeza dengan perubahan iklim secara umum, yang ‘boleh terasa sangat membebankan.’ – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda