Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaatkan cuti sekolah sebaiknya

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    Sesi persekolahan 2023 sudah menutup tirainya baru-baru ini. Pastinya cuti sekolah menjadi antara saat yang dinantikan oleh semua pelajar kerana tidak perlu ke sekolah dan mengambil peluang untuk berehat bersama ahli keluarga selain melakukan aktiviti yang digemari bersama-sama.

    Namun para ibu bapa atau penjaga berperanan besar untuk menjalankan tanggungjawab dengan bijak dalam mengisi atau memanfaatkan masa lapang anak-anak ketika musim cuti persekolahan dengan pelbagai perkara yang berfaedah.

    Hal ini amat penting untuk dititikberatkan agar pengetahuan dan kemahiran mereka meningkat secara progresif baik dari segi mental dan fizikal sehingga meliputi jasmani dan juga rohani.

    LAWATAN SAMBIL BELAJAR

    Tidak dinafikan juga ada di antara ibu bapa yang ingin membawa anak-anak mereka untuk bercuti dan mengunjungi negara-negara jiran sambil menerokai budaya dan kehidupan penduduk di negara yang dikunjungi.

    Walau bagaimanapun, tidak semua orang mampu untuk mengisikan musim cuti persekolahan dengan bercuti ke luar negara, dan terdapat banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan tanpa memerlukan kewangan yang maksimum atau perancangan yang harus dilakukan selama berbulan-bulan.

    Pelbagai aktiviti menarik disediakan oleh Perpustakaan DBP bagi mengisi masa lapang dan menambah ilmu pengetahuan para pelajar atau generasi muda melalui kegiatan luar sekolah. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Sertai acara-acara riadah, sukan ria dan hidupkan semula permainan tradisi yang dihasratkan untuk mengembalikan nostalgia permainan tradisi yang diwarisi dari zaman berzaman. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Antaranya adalah mengadakan aktiviti Kenali Negara Kitani, sebagai contoh mengadakan lawatan-lawatan ke tempat-tempat menarik di negara kita sendiri seperti muzium-muzium, pantai-pantai atau tempat-tempat bersejarah.

    Mengadakan kunjungan lawatan ke muzium-muzium biasanya diatur oleh sebahagian sekolah sebagai aktiviti lawatan sambil belajar, tetapi adakah kita sebagai ibu bapa pernah meluangkan masa untuk berkunjung ke tempat-tempat seperti ini?

    Jika belum, kita digalakkan membawa anak-anak ke tempat seumpama ini, sekali gus
    dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

    AKTIVITI KHIDMAT MASYARAKAT

    Antara amalan lain yang boleh diterapkan kepada anak-anak ketika meniti musim cuti sekolah ialah menerusi aktiviti bergotong-royong atau disebut masyarakat Brunei sebagai bermucang-mucang yang mana ia merupakan satu amalan yang mulia, lebih-lebih lagi dalam mengungkayahkan aktiviti berkebajikan.

    Amalan saling tolong-menolong dan saling membantu sesama sendiri sama ada dalam bentuk tenaga, wang, idea dan sebagainya, sememangnya dapat mengeratkan
    silaturahim dalam kalangan keluarga serta rakan-rakan.

    Oleh itu, anak-anak perlu didorong dan didedahkan dengan aktiviti seperti membersihkan tanah perkuburan, mengikuti program kempen kebersihan mengutip sampah sekitar kampung, masjid, pantai dan sebagainya.

    Dengan melibatkan anak awda dalam aktiviti-aktiviti seumpamanya itu, ia dapat menimbulkan kesan positif, sikap tidak camah mata, proaktif sekali gus memudahkan mereka untuk mengenal erti kesukarelawanan, matang dalam membuat keputusan, menjaga pergaulan dan adab antara orang tua dan sesama rakan-rakan serta
    bertanggungjawab dalam hidup bermasyarakat dan memahami konsep memberi balik kepada masyarakat.

    AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

    Sementara itu, mengamalkan gaya hidup sihat dari segi mental dan fizikal juga meliputi pemakanan seimbang, tidur atau rehat yang mencukupi, melakukan kecergasan badan, elakkan pertengkaran dan pergaduhan dalam keluarga serta sentiasa berfikiran positif.

    Pastinya dengan melakukan aktiviti kecergasan seperti berbasikal, bersukan, berekreasi, senamrobik, berjalan, berlari malah berkebun bersama-sama akan memastikan tubuh menjadi cergas dan sistem peredaran darah menjadi lebih teratur serta mampu membina kekuatan sistem imunisasi dan seterusnya stamina.

    Pada masa yang sama, ia juga mengurangkan risiko dijangkiti penyakit berbahaya.

    Sebagai contohnya, apabila kita sering melakukan senaman ataupun mengambil makanan dengan kadar nutrisi yang betul, tidur yang mencukupi, maka kita dapat mengelakkan diri daripada terdedah kepada penyakit berbahaya.

    Oleh itu, tinggalkanlah telefon buat sementara waktu, sertai acara-acara riadah, sukan ria, dan hidupkan semula permainan tradisi seperti bola kampung, kaki tiga, tinting, gatah, yang mampu mengembalikan nostalgia permainan tradisi yang diwarisi dari zaman berzaman.

    Dalam mengeratkan jalinan kekeluargaan pula, selain interaksi ibu bapa dan anak-anak perlu dikerapkan, lakukan juga aktiviti menghiburkan dan menyeronokkan bersama-sama semasa cuti seperti memasak, membakar kek bersama, bermain kuiz dan sebagainya.

    SEIMBANGKAN DUNIAWI DAN UKHRAWI

    Dalam melakukan pelbagai keseronokan aktiviti tersebut, pengetahuan ukhrawi perlu sentiasa diadaptasi dalam kehidupan seharian terutamanya anak-anak.

    Inilah masanya untuk mendedahkan anak-anak dengan kem ibadah dalam mengisi masa cuti persekolahan seperti mendaftarkan mereka dalam pertandingan menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran, peraduan azan, mengikuti peraduan mewarna dan menulis jawi.

    Selain itu, bimbing anak-anak dengan membawa solat berjemaah di rumah mahupun masjid, sentiasa hidupkan tazkirah kerana hal-hal demikian secara tidak langsung dapat mendidik mereka agar sentiasa terikat hatinya untuk mendekati masjid dan mengimarahkannya yang mana ia bukan sahaja dapat mendidik mereka untuk sentiasa mendahului kewajipan fardu ain malah mampu membina kemajuan ummah baik dari segi akidah, syariah dan juga akhlak.

    Di samping itu, pendedahan bersifat ilmiah di luar sekolah juga dapat menambah ilmu tambahan mereka seperti yang disediakan oleh Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di negara ini.

    DBP sebagai sebuah institusi perpustakaan awam tidak kendur-kendur berusaha dalam mengungkayahkan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa lapang dan menambah pengetahuan umpamanya aktiviti membaca bersama, kraf tangan, permainan tradisi serta tarian tradisional.

    Oleh yang demikian, bersama-samalah bertanggungjawab mendidik diri dan anak-anak untuk mengaplikasikan masa yang terluang dengan pelbagai aktiviti atau kegiatan yang berguna serta penuh makna demi mencapai kejayaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

    Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Ashr, ayat 1 hingga 3 dengan tafsirnya, “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, dan saling berpesan untuk mengikut yang hak serta saling berpesan untuk bersabar.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda