KUALA LUMPUR, 29 MAC – Pengeksport Malaysia digesa memanfaatkan peluang besar susulan pengumuman Beijing berhubung pelaksanaan Kumpulan Piawaian China bagi Minyak Sawit Merah pada 1 Mac lepas yang membolehkan pembeli dari serata negara itu mengimport komoditi berkenaan dengan merujuk spesifikasi dalam piawaian tersebut.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Nadir berkata pihaknya berharap para pengeksport terbabit dapat merebut peluang untuk menjual minyak sawit merah yang premium serta berkhasiat ke China yang merupakan pasaran meluas dengan kelompok pengguna paling pelbagai di dunia.
“Pengumuman ini membolehkan pengimportan minyak sawit merah tanpa sekatan yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, minyak sawit jenis itu tidak dibenarkan memasuki pasaran China berikutan spesifikasi warna dalam Standard China bagi Minyak Sawit yang ditetapkan maksimum merah pada 3.0.
Kebanyakan daripada komoditi itu yang dihasilkan di Malaysia adalah merah pada paras 7.0 dan ke atas.
Selain minyak sawit merah, China turut mengumumkan pelaksanaan Kumpulan Piawaian China bagi Hampas Isirung Kelapa Sawit. – Bernama