Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaatkan ilmu untuk pendidikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Semua maklumat dan ilmu pengetahuan yang diperoleh semasa Program Induksi Guru Tempatan Berkontrak (LCT) Cohot 2, diharap dapat membantu para guru untuk melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi serta tanggungjawab.

    Menerusi program induksi selama lima hari itu, mereka diberikan penerangan mengenai semua aspek pendidikan yang perlu diketahui oleh guru-guru tempatan berkontrak.

    “Sudah tiba masanya para guru tempatan berkontrak ini untuk melihat dan merasa sendiri pengalaman mengajar di hadapan murid-murid di bilik-bilik kelas sebenar,” jelas Ketua Literacy and Numeracy Coaching Programme (LNCP), Pejabat Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Haji Metusin bin Haji Jais dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penutup Sesi Program Induksi Graduan Tempatan menjadi LCT sebagai Guru Bahasa Inggeris dan Matematik pengambilan kohot kedua di Dewan Utama, Bangunan Baharu Kementerian Pendidikan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian surat penempatan kepada para peserta program ialah Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh.

    Seramai 104 orang graduan tempatan yang terpilih untuk jawatan LCT bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik bagi pengambilan kohort kedua di Kementerian Pendidikan menghadiri program induksi yang bermula 28 Januari lalu itu.

    Program Induksi itu bertujuan sebagai langkah awal menyediakan guru-guru berkenaan dengan ilmu asas pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik sebelum mereka masuk dan mengajar di dalam bilik-bilik darjah.

    Selain itu, ia diharap akan dapat memberikan kefahaman mengenai misi, visi, fungsi dan peranan Kementerian Pendidikan serta untuk memberi pendedahan dan kefahaman yang jelas dengan profesionalisme sebagai guru Bahasa Inggeris dan Matematik dalam mendukung Wawasan Negara 2035 khususnya dalam pendidikan literasi dan numerasi.

    Taklimat juga diadakan bagi menerangkan peri pentingnya guru-guru baharu berkenaan sentiasa mematuhi etika kerja sebagai seorang pendidik. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mendokong projek LNCP yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan pada ketika ini.

    Haji Mohd Sharifuddin menyampaikan surat penempatan kepada salah seorang guru tempatan berkontrak yang menamatkan program induksi selama lima hari itu.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda