Thursday, December 12, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaatkan jerami bukan dibakar

    Gambar AFP

    CAN THO, VIETNAM – Semasa kanak-kanak, Dong Van Canh memerhatikan sawah di Delta Mekong Vietnam dibakar untuk persediaan kepada penanaman seterusnya, menghitamkan langit dan memenuhi udara dengan gas rumah hijau yang kuat.

    Beras merupakan makanan utama Asia dan ia adalah punca sekitar 10 peratus daripada pelepasan gas metana global, gas yang menangkap kira-kira 80 kali lebih banyak haba daripada karbon dioksida dalam dua dekad.

    Biasanya dikaitkan dengan sendawa lembu, paras metana yang tinggi juga dihasilkan oleh bakteria yang tumbuh dalam sawah padi yang banjir dan berkembang jika jerami yang tinggal membusuk di lapangan selepas dituai.

    Para saintis berkata, padi tidak boleh diabaikan dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan gas.

    Di Delta Mekong, Canh, seorang petani padi berusia 39 tahun, tidak meninggalkan jerami untuk mereput di sawah bahkan dia juga tidak membakarnya, seperti yang dilakukan oleh ibu bapanya sebelum dia.

    Seorang petani memegang cendawan jerami.
    Para mencampurkan jerami untuk menanam cendawan di Can Tho.
    Dong Van Canh memeriksa baja yang dibuat dengan kaedah pengkomposan jerami berjentera di rumahnya di Can Tho.
    Petani menyiram jerami yang digunakan untuk menanam cendawan.
    Seorang petani berjalan melepasi tunggul jerami yang terbakar di sawah di Can Tho.

    Didorong oleh memori ketika waktu kecil di mana dia dipaksa untuk masuk ke dalam rumah pada hari-hari asap tebal, yang kadang kala begitu kuat sehingga membuatkan dia tercekik atau pengsan, dia menyertai inisiatif yang mengeluarkan jerami dari ladang dan mengubahnya menjadi cendawan dan baja organik, memperoleh pendapatan sampingan yang kecil.

    “Jika kita boleh mengumpul jerami dan menjana wang, kita semua mendapat manfaat,” katanya kepada AFP, sambil jarinya menyusun timbunan jerami, tahi lembu dan sekam padi yang besar dan lembut yang akan menjadi baja berkhasiat untuk tanaman Mekong tidak lama lagi.

    Mengurangkan pelepasan

    Program anjuran Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) adalah salah satu daripada beberapa program yang ada di seluruh Vietnam dan rantau ini yang berusaha mengurangkan pelepasan metana daripada pengeluaran beras secara berterusan.

    Inisiatif ini bukanlah sesuatu yang baharu tetapi telah mendapat perhatian sejak kira-kira 100 negara menandatangani Ikrar Metana Global dua tahun lalu, bersetuju untuk mengurangkan pelepasan sebanyak 30 peratus 2020 menjelang 2030.

    Beberapa pengeluar beras terbesar dunia, termasuk Indonesia, Bangladesh dan Vietnam turut menyertai walaupun dua pengeluar terbesar, China dan India, gagal menandatanganinya.

    Di Vietnam, apabila musim menuai semakin hampir, petani menolak gerobak yang penuh dengan longgokan jerami yang kemudiannya akan direndam dan dibentangkan untuk menanam cendawan.

    Setelah kulat tumbuh dan dipetik, ia akan dijual sebelum petani mengambil semula jerami dan memprosesnya menggunakan mesin. Dua bulan kemudian ia akan siap dan boleh dijual pada harga sekitar 15 sen sekilogram.

    “Pada masa lalu beberapa petani melakukan ini secara manual tetapi ia mengambil terlalu banyak tenaga kerja dan kosnya tinggi.

    Sekarang kami telah mengurangkan kos sebanyak separuh dan kami akan berkembang untuk memenuhi permintaan pasaran,” kata Le Dinh Du, seorang petani padi yang juga mengetuai jabatan perlindungan tumbuhan daerah tempatan.

    Bakteria penghasil metana

    Kementerian Alam Sekitar Vietnam berkata pengairan beras menyumbang hampir separuh daripada pelepasan metana pada 2019.

    Pengurusan jerami mesra iklim telah diperkenalkan dan disebarkan secara meluas kepada petani dan pegawai pertanian tempatan di seluruh negara, menurut CGIAR, sebuah pusat penyelidikan pertanian antarabangsa.

    Tetapi jumlah berapa ramai yang mengamalkan apa yang telah dipelajari, tidak diketahui. Tahun lalu Bank Dunia berkata lebih 80 peratus jerami padi di Delta Mekong masih dibakar di ladang selepas musim menuai.

    Keperluan untuk mencari penyelesaiannya sangat mendesak.

    Tidak seperti tanaman lain, sawah padi mempunyai lapisan takungan air, jadi tiada pertukaran udara antara tanah dan atmosfera, jelas Bjoern Ole Sander, saintis kanan di IRRI di Hanoi.

    Keadaan ini bermakna bakteria berbeza aktif dalam padi, berbanding dengan ladang gandum atau jagung.

    “Dan bakteria ini memakan bahan organik dan menghasilkan metana,” katanya.

    Selain pengurusan jerami, IRRI berkata satu lagi skim yang dipanggil Alternate Wetting and Drying (AWD), yang memecahkan air yang bertakung untuk menambah oksigen dan mengurangkan bakteria penghasil metana, juga boleh membantu mengurangkan pelepasan.

    Diamalkan di lebih daripada 200,000 hektar tanah penanaman padi di wilayah An Giang delta Mekong, CGIAR berkata ia telah membuat perbezaan yang ketara.

    Bagi petani Mekong yang telah mengambil langkah tersebut, ia menjadi kebanggaan untuk menyumbang kepada pertanian yang lebih mampan sambil memanfaatkan hasil tanaman mereka sepenuhnya.

    “Kami menjalani kehidupan yang sukar,” kata Canh. “Tetapi sebaik sahaja kami menyedari cara memanfaatkan jerami, perkara menjadi lebih mudah.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda