KUALA LUMPUR, 4 OGOS – Malaysia perlu manfaatkan kedudukan kukuhnya di peringkat ASEAN bagi meningkatkan perdagangan dengan China yang berpenduduk sebanyak 1.3 bilion orang dan membuka lebih banyak pasaran e-dagang di peringkat pinggir bandar dan pedalaman.
Presiden Persatuan Perniagaan China-ASEAN (CABA) Tan Sri Lim Gait Tong berkata dagangan China dengan ASEAN juga terbukti telah berkembang pesat yang menyaksikan rantau ini muncul sebagai pengeksport terbesar ke China dan mengatasi Amerika Syarikat (AS).
“Kita perlu merangka dan melaksanakan strategi baharu. Ketika perdagangan China-ASEAN mendapat rangsangan baharu, negara-negara ASEAN sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada perdagangan intra-ASEAN serta membuka peluang perdagangan lain termasuk eksport ke negara-negara Asia dan Afrika lain,” katanya kepada Bernama.
Jumlah perdagangan antara China dan ASEAN mencecah rekod tertinggi sebanyak AS$587.87 bilion pada tahun lepas iaitu meningkat 14.1 peratus berbanding 2017.
Lim juga percaya perdagangan China dan ASEAN akan terus meningkat dan melepasi nilai AS$1 trilion.
Namun pada masa sama, beliau mengingkatkan walaupun dagangan ASEAN menyaksikan aliran peningkatan, ini bukan jaminan ia terus kekal positif terutamanya jika pertikaian antara AS dan China terus meruncing. – Bernama