Monday, March 3, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaatkan peluang ibadah, jaga pemakanan di bulan Ramadan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, umat Islam jangan mengabaikan kelebihan bulan Ramadan dan memanfaatkan peluang yang cuma didapati sekali sahaja dalam setahun, dengan melakukan ibadat seperti tadarus Al-Quran, sembahyang Tarawih, Qiamullail, sedekah dan lain-lain

    Selaku umat Islam, titah Baginda, perlu terus berusaha untuk menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan melalui amalan Qiamullail yang dilakukan secara bersendirian atau berjemaah sama ada dengan keluarga masing-masing atau di masjid dan surau.

    Baginda bertitah sempena Menyambut Awal Bulan Ramadan Bagi Tahun 2025, kelmarin, seterusnya bertitah, ibadat Qimaulalil ialah amalan sunat yang dikerjakan pada waktu malam bagi merapatkan diri kepada Allah SWT.

    Selain itu, Baginda amat menghargai usaha berterusan oleh pihak-pihak berkenaan untuk mengadakan ibadat Qimaullail secara berjemaah di masjid-masjid, di surau di seluruh negara, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan.

    Dengan mengetahui kelebihan bulan Ramadan itu, titah Baginda, semua kita tentu sahaja akan bertambah sayang kepada Ramadan, dan tanda sayang itu akan menghiasinya dengan ibadat selain ibadat puasa sendiri.

    Dalam titah Baginda turut mengongsikan, terdapat riwayat menyebut, semua pintu langit dan pintu syurga dibuka pada bulan Ramadan, manakala pintu neraka pula ditutup dan semua iblis serta syaitan dirantai, agar mereka tidak dapat mengacau umat Islam yang sedang berpuasa.

    Riwayat lain juga menyebut, titah Baginda, bahawa siapa yang menghampiri diri kepada Allah SWT dengan satu sembahyang dalam bulan Ramadan, adalah sama imbangannya dengan 70 sembahyang pada lain-lain bulan.

    “Satu sembahyang sunat, sama imbangannya dengan satu sembahyang fardhu, itulah hebatnya kelebihan Ramadan” titah Baginda lagi.

    Baginda bertitah lagi, “terutama yang mahu dipelihara ialah ibadat puasa sendiri, sebulan penuh berpuasa, hendaklah sebulan penuh juga puasa diterima”.       

    Selain dari bercakap kotor dan berkelahi boleh merosakkan puasa, Baginda turut melihat mustahak untuk dijaga ialah hal ehwal pemakanan.

    Menjaga pemakanan, tegas Baginda, sangat penting supaya ia bersih dan halal, bukan tercemar oleh unsur haram atau syubhah.

    Ugama Islam juga sangat mementingkan kesihatan, titah Baginda lagi, dan antara langkah paling berkesan untuk mengekalkan kesihatan ialah melalui pemakanan.

    Walaupun pemakanan dalam bulan puasa sering didapati pelbagai atau beraneka, selaku umat Islam perlu mengelak pembaziran dan makan minum yang berlebihan dengan mengikut kaedah yang dituntut dalam hadis Nabi Muhammad SAW iaitu sukatan sepertiga untuk makan, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiga pula untuk bernafas.

    “Jika badan sihat, semua aktiviti peribadatan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan kita dapat sama-sama meraih kelebihan pada bulan yang penuh keberkatan ini,” titah Baginda lagi.

    Di akhir titah, Baginda dan keluarga Baginda amat sukacita mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana saja mereka berada, mendoakan agar semua rakyat sama-sama dapat melaksanakan ibadat puasa dalam keadaan sihat dan sejahtera.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengurniakan titah perutusan sempena menyambut bulan Ramadan 1446H / 2025M. – GAMBAR INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda